Thursday, February 23, 2012

Kepada Siapa Harusku Berharap

Ini persoalan yang seringkali bermain di minda setiap insan. Terutama sekali bagi mereka yang seringkali menemui jalan buntu dalam menghadapi setiap konflik dalam hidup mereka. Secara jelas kehidupan ini adalah merupakan satu perjalanan yang panjang, yang seringkali dalam perjalanan ini kita akan menempuh pelbagai pengalaman samada pengalaman itu manis atau pahit, bahagia atau sengsara dan ketawa atau menangis.

Dan dalam perjalanan hidup ini juga kita seringkali berada dalam dilema untuk memilih apakah perkara yang harus kita buat. Perkara A atau B, buat atau tidak, tinggalkan atau hadapi. Baru-baru ini ada seorang wanita yang berusia 49 tahun menghantar sms kepada saya. Saya agak terkejut bila membaca smsnya, bukan terkejut ttg persoalannya, Cuma saya agak terkejut lantaran saya tidak tahu bagaimana dia mendapat no telefon saya. Rupa-rupanya puan tadi memberitahu bahawa anak buahnya (salah seorang pelajar sekolah menengah yang saya pernah berceramah disekolahnya) yang memberikan no telefon saya kepadanya.

Dalam sms itu, puan tadi menyatakan pada saya bahawa dia adalah seorang janda dan pernah bersuami dengan 3 orang lelaki. Tetapi perkahwinannya dengan ketiga-tiga lelaki tadi tidak sampai ke penghujung usia sepertimana yang diimpikan setiap manusia kerana bekas-bekas suaminya ada yang kaki minum dan juga ada yang kaki judi. Sepanjang perkahwinan dia pernah dipukul oleh suaminya sehingga pengsan. Dan macam-macam lagi kekasaran yang pernah dia lalui dalam hidupnya. Kemudian, baru-baru ini ada seorang lelaki yang berusia 41 tahun yang cuba menyuntingnya menjadi isteri. So, dia hubungi saya kerana ingin bertanya pada saya adakah patut untuknya menerima lamaran lelaki tersebut. Dia takut untuk berkahwin lagi tapi dia juga perlu seorang teman untuk melayari hari-hari tuanya.

Di sini saya tidak berniat untuk berkongsi tentang jawapan saya kepada puan tadi,cuma yang ingin saya garapkan di sini adalah setiap insan sebenarnya seringkali meletakkan harapan yang sangat tinggi pada pasangan mereka. Dengan harapannya pasangan tadi akan membahagiakan mereka, menggembirakan, menemani dan saling berkongsi dengan saling memahami sampailah tamat usia mereka. Tapi satu perkara yang harus kita sedari hari ini adalah betapa banyak rumahtangga yang musnah, betapa ramai pasangan yang baru sahaja berkahwin tapi tak lama terus berpisah. Kenapa ini berlaku?

Jawapannya cukup mudah, kerana kita salah meletakkan harapan. Kita meletakkan harapan pada manusia yang hanya manusia dan bukannya pada manusia yang beriman. Maksud saya manusia yang hanya manusia adalah manusia yang bukan meletakkan persoalan Iman di dalam hatinya. Seringkali kita salah memilih pasangan kerana kita memilih pasangan kita hanya kerana rupanya, cakapnya yang menggoda, duitnya yang kononnya mampu menyara kita dan sebagainya lagi. Dan terus terang saya katakan tak ramai yang memilih pasangan yang mampu membawanya mendekati Allah. Mereka hanya memilih pasangan itu untuk dunia tapi tidak memilih pasangan untuk dunia dan akhirat.

Baru-baru ini juga ada seorang remaja yang menghantar sms pada saya menyatakan apa yang perlu dia buat, dia sudah terlanjur dan lelaki itu tak nak bertanggungjawab. Jawapannya adalah itu salah kita sebab kita memilih pasangan untuk dunia yang tidak akan membahagiakan kita selamanya, kita hanya akan seronok seketika tetapi sengsara selamanya.

So, teman-teman di luar sana, pilihlah pasangan anda yang akan membawa anda mendekati Tuhan, pilih pasangan untuk dunia dan akhirat anda. Dan satu perkara yang harus kita sedar kalau kita nak pasangan yang beriman, kita dulu yang kena mendalami Iman. Sebab, cuba tanya pada hati kita. Kalau kita baik, adakah kita nak pasangan kita yang tak baik? Mesti tidak bukan, begitulah juga perasaan orang lain.

So, baikilah diri. insyaALLAH Tuhan akan sediakan pasangan untuk anda orang yang juga yang telah memperbaiki dirinya. Harapan yang sebenarnya adalah berharaplah pada ALLAH yang akan menyediakan hamba-NYA yang terbaik sesuai dengan keadaan diri kita.

Good luck, selamat beramal.

No comments: