Thursday, February 23, 2012

Demi Cinta

Bila kita berbicara tentang cinta, pastinya ia menimbulkan pelbagai ekspresi perasaaan di lubuk hati ini. Ada yang tersenyum gembira, dan mungkin ada juga yang bermuram durja. Tetapi bagi remaja, istilah cinta adalah satu istilah yang amat bermakna dalam hidup mereka.

Apakah erti cinta?
Cinta adalah tindakbalas perasaan yang terdetik di hati kita. Perasaan ini berbaur antara perasaan mesra, perasaan kasih dan perasaan sayang. Perasaan itu mampu untuk mengubah segala-galanya dalam perjalanan hidup kita.

Dan demi perasaan itu manusia sanggup melakukan apa sahaja. Saya teringat satu khidmat pesanan ringkas (sms) dari seorang pelajar sekolah menengah yang menghubungi saya baru-baru ini. Sms itu bertaip:
"Aslmkum ..slmt ptg abg yuz .. Sy ne dri keningau sbah, sy nak btnye sket dgn abg yuz mengenai cinta .. Sy ada boyfren, kmrin, dy kta dy tlalu cntakn sy lpas 2 dy kta dy nk ambl sume dlm dri sy .. Sy kta tk ble tp dy kta kalw sy tk serahkn bdan sy dgn dy, dy nak ptuskn hbungn kmi dn dy nk bnuh dri.. D sni prsolan sy, btl ke dia nk buat bgtu jkalau sy tk srahkn dri sy dgn dia n bgaimna hndk mnylsaikn mslh ne? mslhnya sy tk snggup ptus dgn dia sbb sy tlalu cnta padanya."

Itu satu sms yang saya terima dari salah seorang remaja di luar sana. Saya sengaja mengekalkan bentuk perkataan yang terpampang di skrin telefon bimbit saya. Secara ringkas apa yang cuba diluahkan oleh remaja tadi adalah dia berada dalam dilema samada mahu serahkan tubuh badan mahkota maruahnya atau tidak. Dan kalau dia tidak serahkan diri maka dia akan kehilangan seseorang yang amat dicintainya.

Mungkin ada yang bilamana membaca sms tadi akan ketawa sinis, seolah-olah menganggap bahawa gadis tadi tidak waras kerana bagi mereka itu adalah persoalan yang mudah. Putus sajalah, buat apa nak fikir lagi. Kalau lelaki tadi nak bunuh diri, biarlah dia bunuh diri. Kita tak rugi apa-apa pun.

Bagi saya kita boleh menyatakan demikian kerana kita tidak mengalami perkara demikian. Kebanyakan gadis di luar sana, ramai yang mempunyai masalah demikian. Bimbang sangat-sangat untuk kehilangan orang yang tersayang.

Tetapi sebelum saya menghuraikan dengan lebih lanjut tentang demi cinta. Sebenarnya ingin saya nyatakan, manusia di luar sana sanggup melakukan apa sahaja demi orang yang dicintainya. Itu adalah perkara yang jelas. Saya pun sanggup melakukan apa sahaja demi orang yang tersayang. Cuma yang membezakan kita semua di luar sana adalah batas sempadan pengorbanan dan istilah orang tersayang yang kifa fahamkan dalam diri kita.

Pembaca budiman,
Ada kajian yang dibuat menyatakan bahawa, purata kehidupan manusia di Malaysia adalah 60 puluh tahun. Sekarang mungkin usia kita belasan tahun, 20an atau 30an. Dalam usia kita yang tak sampai separuh dari purata usia kita tadi, kita dah lalui banyak pengalaman samada ia pahit atau manis. Dan dalam usia kita yang tak sampai separuh ramai kalangan kita sendiri atau rakan-rakan yang seusia kita mengeluh kerana tekanan yang mereka alami. Rasa tension sangat, terfikir tak nak hidup lagi dan ada juga antara kita dah ambil tindakan nak bunuh diri.

Yang menjadi persoalan kepada kita adalah pernah tak kita fikir bagaimana kita nak lalui baki kehidupan kita. Dan maaf saya katakan, tak ramai kalangan kita fikirkan perkara demikian. Yang paling jauh pun kita fikir, apa aku nak buat hari ini, esok, lusa atau tahun depan. Boleh dibilang dengan jari mereka yang fikir bagaimana nak lalui hidup yang berbaki mungkin 45, 40 atau 35 tahun lagi. So apa yang ingin saya katakan cinta yang sebenarnya bukan cintakan kekasih, boyfriend atau girlfriend anda. Tapi cinta yang sejati adalah kita cintakan diri kita dengan kita buat persiapan bagaimana kita akan lalui baki kehidupan kita.

So, kata-kata terakhir dari saya adalah:
Cintailah diri anda, bukan sahaja untuk hari ini. Tapi juga untuk esok, lusa, tahun depan atau mungkin 30 tahun lagi. Caranya tidak lain tidak bukan, berusahalah setiap hari bersungguh-sungguh demi kebahagiaan anda akan datang. Bukan sahaja demi kebahagiaan di dunia tapi juga demi kebahagiaan anda di akhirat. Abaikan sementara cinta yang melalikan kerana ialah racun kemusnahan dalam hidup kita.

Good luck….

Kenapa Hati Resah

Setiap hari kita ketawa. Setiap hari kita berjenaka. Setiap hari juga kita bersembang ria dengan rakan taulan. Tetapi.. Kenapa hati kita tak gembira.

Setiap hari kita menonton tayangan televisyen, setiap hari kita menyanyi berhibur, setiap hari juga kita melihat lawak jenaka, tetapi kenapa hati kita kosong. Dan yang paling utama, kenapa hati kita resah.

Kita sembahyang setiap hari, setiap hari juga kita berdoa pada Allah. Kita minta sungguh-sungguh, namun mengapa doa kita tak dimakbulkan. Kenapa susah sangat Allah nak perkenankan doa kita? Sedangkan Allah telah berfirman:
"Berdoalah pada KU, nescaya akan KU makbulkan"

Apa masalah kita sebenarnya?

Seringkali kita bertanya pada diri. Di mana lagi kita perlu carikan ketenangan. Di bibir kita menuntum senyuman tapi hakikatnya dihati hanya Tuhan sahaja yang tahu keadaannya.

Pembaca budiman, sebenarnya cuba kita tanya hati kita, Cuma selami hati kita, apakah sebenarnya perkara yang boleh membahagiakan dan menceriakan kita?

Sebenarnya jawapan sudah ada di depan mata. Hati kita tidak gembira kerana kita tidak pernah bersyukur dengan apa yang kita ada. Kita tidak pernah cuba untuk menghargai setiap nikmat yang sudah dianugerahkan kepada kita. Tetapi sebaliknya kita asyik memikirkan benda yang kita tidak ada, sampai kita lupa untuk melihat segala nikmat yang ada disekeliling kita.

Kita berdoa, tapi kenapa sukar sangat Allah nak makbulkan setiap doa kita?

Bagi saya jawapannya cukup mudah, ini kerana kita hanya asyik meminta pada Allah, tapi kita tidak pernah sekalipun minta ampun pada Allah, sedangkan dosa-dosa kita sudah terlampau banyak pada Allah. Alangkah tidak malunya kita. Kita merintih, kita merayu agar Allah makbulkan setiap doa kita. Tapi, lepas kita dapat kesenangan terus kita lupakan Allah, kita tak bersyukur pada Allah. Bila dah datang kesusahan, baru kita nak ingat balik pada ALlah. Baru nak menangis, merintih..mintak Allah pandang kita. Macam mana Allah nak makbulkan doa kita?

Cuba kita renung diri kita. Cuba hitung, berapa kali kita sebut kalimah syukur dalam satu hari? Tidak usah seminggu, cukuplah sehari sahaja. Berapa kali agaknya? Itupun kalau pernah kita sebutkan. Cuba kita bertanya pada diri kita, pernah atau tidak kita bangun malam untuk sujud syukur pada Allah? Jawapan tidak bukan. Kalau ada pun waktu sekolah dulu-dulu, waktu dah dekat nak exam, sibuk bangun malam agar Allah permudahkan kita jawab exam. Lepas habis je exam, solat hajat, tahajjud dan sebagainya juga turut lenyap dalam sejarah hidup kita.

Begitu juga dalam kehidupan seharian kita, hari-hari kita buat baik. Kita tolong orang. Kita sedekah dekat orang. Kita buat macam-macam. Tapi kenapa kita tak dapat nak rasa kemanisan setiap perbuatan yang kita lakukan tu? Hati kita tetap juga tak tenang. Kenapa ya? Sebab dalam hati kita tidak ada sifat ikhlas. Mulut cakap ikhlas, hati kata lain. Kita tolong orang sebab nak harapkan balasan. Nakkan pujian. Nakkan nama. Kita riak dengan setiap kebaikan yang kita buat. Macam mana hati kita nak tenang? Bila dapat kejayaan, kita bangga dengan apa yang kita ada. Mula nak menunjuk-nunjuk dekat orang. Sampai lupa siapa sebenarnya yang bagi kejayaan tu dekat kita.

Alangkah tidak malunya kita..., Allah ciptakan kita sebagai khalifah di bumi ni. Kitalah sebaik-baik kejadian yang Allah pernah ciptakan sehinggakan semua makhluk sujud pada bapa kita, Nabi Adam kecuali Iblis Laknatullah. Betapa Allah muliakan kejadian manusia. Tapi, kita sendiri tidak memelihara diri kita. Kita lupa tanggungjawab kita sebagai hamba. Kita lupa kepada yang mencipta diri kita. Bahkan, kita alpa dengan nikmat yang ada. Nabi Muhammad s.a.w, pada saat malaikat ingin mencabut nyawa Baginda, Baginda masih memikirkan umat-umatnya. Ummati! Ummati! Sampai begitu sekali sayang Rasulullah pada kita.

Tapi kita? Kita lupa pada Baginda Rasul. Berat benar lidah kita nak berselawat ke atas baginda. Macam mana hati kita nak tenang?

Lembutkanlah hati kita. Tundukkan lah diri kita pada Allah. Bersyukur dengan nikmat yang Allah pinjamkan pada kita. Semua itu tidak akan kekal. Bila-bila masa Allah boleh tarik balik semua itu. Ikhlas kan lah hati dalam setiap perkara yang kita buat.

Sesungguhnya, hanya Allah sahaja yang berkuasa menilai keikhlasan hati kita. Insya Allah, kita akan dapat merasai kelazatan halawatul iman itu sendiri. Tenanglah dikau wahai hati.

Kepada Siapa Harusku Berharap

Ini persoalan yang seringkali bermain di minda setiap insan. Terutama sekali bagi mereka yang seringkali menemui jalan buntu dalam menghadapi setiap konflik dalam hidup mereka. Secara jelas kehidupan ini adalah merupakan satu perjalanan yang panjang, yang seringkali dalam perjalanan ini kita akan menempuh pelbagai pengalaman samada pengalaman itu manis atau pahit, bahagia atau sengsara dan ketawa atau menangis.

Dan dalam perjalanan hidup ini juga kita seringkali berada dalam dilema untuk memilih apakah perkara yang harus kita buat. Perkara A atau B, buat atau tidak, tinggalkan atau hadapi. Baru-baru ini ada seorang wanita yang berusia 49 tahun menghantar sms kepada saya. Saya agak terkejut bila membaca smsnya, bukan terkejut ttg persoalannya, Cuma saya agak terkejut lantaran saya tidak tahu bagaimana dia mendapat no telefon saya. Rupa-rupanya puan tadi memberitahu bahawa anak buahnya (salah seorang pelajar sekolah menengah yang saya pernah berceramah disekolahnya) yang memberikan no telefon saya kepadanya.

Dalam sms itu, puan tadi menyatakan pada saya bahawa dia adalah seorang janda dan pernah bersuami dengan 3 orang lelaki. Tetapi perkahwinannya dengan ketiga-tiga lelaki tadi tidak sampai ke penghujung usia sepertimana yang diimpikan setiap manusia kerana bekas-bekas suaminya ada yang kaki minum dan juga ada yang kaki judi. Sepanjang perkahwinan dia pernah dipukul oleh suaminya sehingga pengsan. Dan macam-macam lagi kekasaran yang pernah dia lalui dalam hidupnya. Kemudian, baru-baru ini ada seorang lelaki yang berusia 41 tahun yang cuba menyuntingnya menjadi isteri. So, dia hubungi saya kerana ingin bertanya pada saya adakah patut untuknya menerima lamaran lelaki tersebut. Dia takut untuk berkahwin lagi tapi dia juga perlu seorang teman untuk melayari hari-hari tuanya.

Di sini saya tidak berniat untuk berkongsi tentang jawapan saya kepada puan tadi,cuma yang ingin saya garapkan di sini adalah setiap insan sebenarnya seringkali meletakkan harapan yang sangat tinggi pada pasangan mereka. Dengan harapannya pasangan tadi akan membahagiakan mereka, menggembirakan, menemani dan saling berkongsi dengan saling memahami sampailah tamat usia mereka. Tapi satu perkara yang harus kita sedari hari ini adalah betapa banyak rumahtangga yang musnah, betapa ramai pasangan yang baru sahaja berkahwin tapi tak lama terus berpisah. Kenapa ini berlaku?

Jawapannya cukup mudah, kerana kita salah meletakkan harapan. Kita meletakkan harapan pada manusia yang hanya manusia dan bukannya pada manusia yang beriman. Maksud saya manusia yang hanya manusia adalah manusia yang bukan meletakkan persoalan Iman di dalam hatinya. Seringkali kita salah memilih pasangan kerana kita memilih pasangan kita hanya kerana rupanya, cakapnya yang menggoda, duitnya yang kononnya mampu menyara kita dan sebagainya lagi. Dan terus terang saya katakan tak ramai yang memilih pasangan yang mampu membawanya mendekati Allah. Mereka hanya memilih pasangan itu untuk dunia tapi tidak memilih pasangan untuk dunia dan akhirat.

Baru-baru ini juga ada seorang remaja yang menghantar sms pada saya menyatakan apa yang perlu dia buat, dia sudah terlanjur dan lelaki itu tak nak bertanggungjawab. Jawapannya adalah itu salah kita sebab kita memilih pasangan untuk dunia yang tidak akan membahagiakan kita selamanya, kita hanya akan seronok seketika tetapi sengsara selamanya.

So, teman-teman di luar sana, pilihlah pasangan anda yang akan membawa anda mendekati Tuhan, pilih pasangan untuk dunia dan akhirat anda. Dan satu perkara yang harus kita sedar kalau kita nak pasangan yang beriman, kita dulu yang kena mendalami Iman. Sebab, cuba tanya pada hati kita. Kalau kita baik, adakah kita nak pasangan kita yang tak baik? Mesti tidak bukan, begitulah juga perasaan orang lain.

So, baikilah diri. insyaALLAH Tuhan akan sediakan pasangan untuk anda orang yang juga yang telah memperbaiki dirinya. Harapan yang sebenarnya adalah berharaplah pada ALLAH yang akan menyediakan hamba-NYA yang terbaik sesuai dengan keadaan diri kita.

Good luck, selamat beramal.