Thursday, February 23, 2012

Demi Cinta

Bila kita berbicara tentang cinta, pastinya ia menimbulkan pelbagai ekspresi perasaaan di lubuk hati ini. Ada yang tersenyum gembira, dan mungkin ada juga yang bermuram durja. Tetapi bagi remaja, istilah cinta adalah satu istilah yang amat bermakna dalam hidup mereka.

Apakah erti cinta?
Cinta adalah tindakbalas perasaan yang terdetik di hati kita. Perasaan ini berbaur antara perasaan mesra, perasaan kasih dan perasaan sayang. Perasaan itu mampu untuk mengubah segala-galanya dalam perjalanan hidup kita.

Dan demi perasaan itu manusia sanggup melakukan apa sahaja. Saya teringat satu khidmat pesanan ringkas (sms) dari seorang pelajar sekolah menengah yang menghubungi saya baru-baru ini. Sms itu bertaip:
"Aslmkum ..slmt ptg abg yuz .. Sy ne dri keningau sbah, sy nak btnye sket dgn abg yuz mengenai cinta .. Sy ada boyfren, kmrin, dy kta dy tlalu cntakn sy lpas 2 dy kta dy nk ambl sume dlm dri sy .. Sy kta tk ble tp dy kta kalw sy tk serahkn bdan sy dgn dy, dy nak ptuskn hbungn kmi dn dy nk bnuh dri.. D sni prsolan sy, btl ke dia nk buat bgtu jkalau sy tk srahkn dri sy dgn dia n bgaimna hndk mnylsaikn mslh ne? mslhnya sy tk snggup ptus dgn dia sbb sy tlalu cnta padanya."

Itu satu sms yang saya terima dari salah seorang remaja di luar sana. Saya sengaja mengekalkan bentuk perkataan yang terpampang di skrin telefon bimbit saya. Secara ringkas apa yang cuba diluahkan oleh remaja tadi adalah dia berada dalam dilema samada mahu serahkan tubuh badan mahkota maruahnya atau tidak. Dan kalau dia tidak serahkan diri maka dia akan kehilangan seseorang yang amat dicintainya.

Mungkin ada yang bilamana membaca sms tadi akan ketawa sinis, seolah-olah menganggap bahawa gadis tadi tidak waras kerana bagi mereka itu adalah persoalan yang mudah. Putus sajalah, buat apa nak fikir lagi. Kalau lelaki tadi nak bunuh diri, biarlah dia bunuh diri. Kita tak rugi apa-apa pun.

Bagi saya kita boleh menyatakan demikian kerana kita tidak mengalami perkara demikian. Kebanyakan gadis di luar sana, ramai yang mempunyai masalah demikian. Bimbang sangat-sangat untuk kehilangan orang yang tersayang.

Tetapi sebelum saya menghuraikan dengan lebih lanjut tentang demi cinta. Sebenarnya ingin saya nyatakan, manusia di luar sana sanggup melakukan apa sahaja demi orang yang dicintainya. Itu adalah perkara yang jelas. Saya pun sanggup melakukan apa sahaja demi orang yang tersayang. Cuma yang membezakan kita semua di luar sana adalah batas sempadan pengorbanan dan istilah orang tersayang yang kifa fahamkan dalam diri kita.

Pembaca budiman,
Ada kajian yang dibuat menyatakan bahawa, purata kehidupan manusia di Malaysia adalah 60 puluh tahun. Sekarang mungkin usia kita belasan tahun, 20an atau 30an. Dalam usia kita yang tak sampai separuh dari purata usia kita tadi, kita dah lalui banyak pengalaman samada ia pahit atau manis. Dan dalam usia kita yang tak sampai separuh ramai kalangan kita sendiri atau rakan-rakan yang seusia kita mengeluh kerana tekanan yang mereka alami. Rasa tension sangat, terfikir tak nak hidup lagi dan ada juga antara kita dah ambil tindakan nak bunuh diri.

Yang menjadi persoalan kepada kita adalah pernah tak kita fikir bagaimana kita nak lalui baki kehidupan kita. Dan maaf saya katakan, tak ramai kalangan kita fikirkan perkara demikian. Yang paling jauh pun kita fikir, apa aku nak buat hari ini, esok, lusa atau tahun depan. Boleh dibilang dengan jari mereka yang fikir bagaimana nak lalui hidup yang berbaki mungkin 45, 40 atau 35 tahun lagi. So apa yang ingin saya katakan cinta yang sebenarnya bukan cintakan kekasih, boyfriend atau girlfriend anda. Tapi cinta yang sejati adalah kita cintakan diri kita dengan kita buat persiapan bagaimana kita akan lalui baki kehidupan kita.

So, kata-kata terakhir dari saya adalah:
Cintailah diri anda, bukan sahaja untuk hari ini. Tapi juga untuk esok, lusa, tahun depan atau mungkin 30 tahun lagi. Caranya tidak lain tidak bukan, berusahalah setiap hari bersungguh-sungguh demi kebahagiaan anda akan datang. Bukan sahaja demi kebahagiaan di dunia tapi juga demi kebahagiaan anda di akhirat. Abaikan sementara cinta yang melalikan kerana ialah racun kemusnahan dalam hidup kita.

Good luck….

No comments: