Thursday, October 23, 2008

SEPINYA SEKEPING HATI

Hati....
sepinya dirimu di kala ini
lesu tanpa suntikan iman
lemah tanpa siraman taqwa.

Hati mudah sepi
jika tidak ditunjangi iman
Hati mudah mati
jika tidak pernah diisi
dengan limpahan rasa takut dan harap
kepada Yang Maha Kuasa

Hati....
seringkali aku tidak mengerti
tentang dirimu
kekadang engkau resah
kekadang engkau gelisah
kekadang engkau gembira
sesungguhnya engkau penuh misteri

yang pastinya apa yang ku tahu
engkau tunduk.... tenang
jika dirimu dihiasi dengan sifat tawadhu'
rasa bahagia dididik oleh Tuhan.

PELANGI CINTA

PELANGI CINTA
Falsafah Yang Sukar Difahami Insan Biasa


Semakin ku selami semakin ku mengerti,
Semakin ku hayati, semakin ia melingkar tangkai hati,

AISYAH HUMAIRA

Seorang gadis suci
Mencari erti cinta sejati…



.............................................
Bingkisan tinta ini ku tujukan khas buat mereka yang mencari hakikat sebuah cinta sejati…………….
Semoga kita juga sepertimana Aisyah Humaira yang akhirnya menemui hakikat cinta sejati selepas melalui sebuah perjalanan yang panjang. Buat para pembaca, terimalah….
Pelangi Cinta
............................................



1. GADIS ITU BERNAMA NURUL IMAN

Siang itu Kota Kinabalu seolah-olah tidak bermaya, hujan merembas lebat dari petang semalam. Awan hitam kelam memayungi alam, langsung tidak kelihatan mentari di langit. Ya sememangnya dari petang semalam lagi awan hitam telah berjaya mengambil alih tempat mentari. Tiupun angin Laut Cina Selatan turut sama mendinginkan lagi alam. Pada kala begini, sememangnya berada di bilik lebih selesa. Berteleku di dalam selimut.
Memang, penghuni kolej kediaman A, Universiti Malaysia Sabah semuanya masih belum lagi bangun. Walaupun pada waktu ini jam sudah pun menjejakkan jarumnya ke angka 1.30 petang. Lihat sahaja di kafe kolej. Langsung tiada sesusuk pun tubuh manusia, yang ada hanyalah makcik-makcik peniaga walaupun pada waktu begini biasanya sudah penuh manusia di kafe bersesak-sesak bahkan untuk mendapatkan makanan pun kadang-kadang terpaksa beratur panjang.
Jam 12 tadi pun dia melihat hanya dua tiga orang pelajar yang menapakkan diri mereka ke masjid UMS yang tersergam indah itu untuk solat Zohor. Sememangnya dari biliknya dia mampu melihat manusia-manusia yang berulang alik ke masjid tersebut. Walaupun jaraknya agak jauh, tapi dia masih mampu melihatnya. Kasihan rasanya kepada dua tiga orang pelajar tadi yang terpaksa merangkak dalam hujan lebat semata-mata untuk menunaikan ibadah kepada Tuhan mereka. Basah kuyup mereka tadi. Tapi selepas itu tidak pula kelihatan pelajar-pelajar tadi pulang. Mungkin mereka menunggu untuk solat Asar agaknya. Kadang-kadang kagum juga dia dengan beberapa orang pelajar tersebut yang kelihatan begitu komitmen mengunjungi “Rumah Allah”. Sengaja meminjam kata “Rumah Allah” yang mana lebih mesra kepada masjid. Sengaja dia meminjam kata-kata dari sahabatnya Nurul Iman seorang muslim.
Sebenarnya dia sendiri pun amat malas untuk menginjakkan kaki keluar dari biliknya saat ini. Siapa yang ingin keluar saat begini? Sudahlah hari minggu, hujan lebat lagi pula tu. Sahabatnya sendiri Candy masih nyenyak tidur di katilnya, langsung tidak berganjak dari malam tadi. Kalau diikutkan hati mahu sahaja dia turut sama menyertai Candy. Sama-sama meng’hibernasi’ di dalam selimut dan menyulam mimpi-mimpi indah. Tapi apabila mengingatkan janjinya dengan sahabatnya Nurul untuk sama-sama mengulangkaji di perpustakaan, dikuatkan juga semangatnya melawan perasaannya. Selepas bersiap-siap tadi digegaskan dirinya turun menunggu bas. Sememangnya dalam cuaca begini begitu susah untuk mendapatkan bas terutamanya pada hari anam begini.
Entahlah dia tidak tahu kenapa akhir-akhir ini dia begitu selesa sekali bertelaah bersama-sama dengan Nurul. Sedangkan sebelum ini dia begitu benci sekali dengan Nurul. Dia tidak tahu kenapa. Sebelum ini, bila saja bertembung dengan Nurul rasa-rasanya mau dimamah sahaja tubuh gadis itu. Dia pernah khianat padaku? Tidak!! Dia pernah memarahiku? Tidak!! Dia pernah mengataku? Tidak!! Bahkan dia begitu baik sekali padaku. Dia sentiasa tersenyum bahkan tidak pernah lekang dari bibirnya. Dia sentiasa menolong walaupun tidak diminta. Dan aku rasa itulah yang menyebabkan semakin lama perasaan benciku semakin hilang kemudian perasaan itu bertukar menjadi kagum dan kemudian mekar menjadi kasih padanya. Aku yakin kini, aku makin tertarik untuk mengenali dirinya dengan lebih dekat lagi.
“Ahhh… lambat pula bas pada hari ini”. Bisik hatiku sambil melirik jam di tangan tanda protes.
Menyesal pula aku tidak turun lebih awal lagi. Bukan aku sengaja lambat turun, tapi keadaan yang tidak mengizinkan. Jam 12.15 tadi aku telah pun bersiap, sudah sampai di tangga pun. Tapi tiba-tiba aje perut aku ni meragam. Terpaksa la pula aku berpatah balik ke bilik, selepas letak beg, salin pakaian dan terus ke tandas. Lepas aje aku selesaikan hajatku terus je aku bergegas turun ke bawah.
Jam sudah menjengah ke angka 1.57 petang. Mesti Nurul sudah lama menungguku di perpustakaan. Masih aku ingat pada pertemuan pertama aku di perpustakaan hari itu. Aku berjanji untuk sama-sama menelaah subjek Elektronik bersamanya pada hari itu kerana di dalam kelas, dia antara yang terbaik dalam subjek tersebut. Dan sememangnya aku yang sudah diasuh dari kecil untuk sentiasa menjadi yang pertama dalam semua bidang akan sedaya upaya untuk mencari ruang untuk menjadi yang terbaik. Aku tanpa segan silu akan meminta sesiapa sahaja untuk mengajar aku. Dan satu jawapan daripadanya sememangnya amat mengejutkan aku. Apabila aku memohon maaf di atas keterlewatanku dan menanyakan sudah lamakah dia menungguku? Dia sambil tersenyum memaafkanku sambil menyatakan bahawa dia sudah menunggu seperti yang dijanjikan dan menegaskan bahawa umat Islam amat menitik beratkan janji. Kerana sifat memungkiri janji adalah termasuk di dalam sifat yang tercela bagi seorang muslim.
Aku begitu penasaran dengan jawapannya kerana aku lihat ramai pelajar muslim yang selalu lewat ke kuliah bahkan ada juga yang ponteng daripada kuliah. Bukankah sebelum mereka masuk ke kampus mereka pernah berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh walaupun bukan kepada kedua ibu bapa tapi sekurang-kurangnya pada diri sendiri. Aku begitu yakin dengan janji itu kerana aku pun seperti itu jua, pernah berikrar untuk belajar bersungguh-sungguh. Bukankah itu juga dikata janji. Aku ingin sekali bertanya padanya tapi aku diamkan saja kerana aku yakin akan tiba masanya untuk aku betul-betul bertanya padanya.
Turun sahaja daripada bas, aku bergegas bergerak/menuju ke perpustakaan. Sambil tangan kiriku memegang payung, tangan kananku sibuk menekan punat telefon. Melihat memori yang ku simpan, aku terlupa di bahagian mana aku berjanji untuk berjumpa dengan Nurul.



2. PERTEMUAN DI PERPUSTAKAAN

Dari kejauhan kulihat ada seorang gadis yang bertudung labuh dan berjilbab tengah tekun menelaah. Aku yakin itulah Nurul Iman. Itulah identitinya, tubuhnya ditutup penuh dengan pakaian jubahnya. Aku pasti sememangnya dia begitu panas dalam pakaiannya yang sebegitu. Aku sendiri yang hanya memakai seluar jeans panjang dan baju t-shirt yang berlengan panjang pun kekadang amat rimas berpakaian begini. Tetapi kalau dalam cuaca dingin begini takpelah. Lagi selesa bertutup penuh sepertinya. Sejuk!!!!
“Hai selamat petang”, tegurku apabila aku mendekatinya.
“Hai, selamat petang. Sudah makan?”, sapanya kembali padaku dengan senyum terpamer pada wajahnya. Dia begitu ayu pada pandanganku tapi aku hairan tidak pernah pula aku lihat dia berpacaran. Sedangkan alam muda begini, perasaan debaran cinta begitu kuat mengdekam di jiwa. Tidakkah dia pernah bercinta. Seringkali aku lihat dia begitu cepat sekali berurusan dengan lelaki. Urusannya pula hanyalah untuk benda-benda yang penting. Aku lihat dia begitu bijak mengelakkan dirinya daripada berurusan dengan lelaki. Aku lihat ramai wanita Islam yang lain begitu cerat bercinta. Lihat sahaja di dalam perpustakaan ini, yang datang bukan semata-mata untuk mengulangkaji tetapi lebih kepada temujanji. Setiap pelosok dipenuhi dengan pasangan-pasangan bercinta. Datang dengan alasan ‘study’ tapi yang aku lihat hanya 20% sahaja masa yang diluangkan untuk mengulangkaji yang lain lebih kepada perkara yang bagiku sia-sia.
“Duduklah, tak basah ke?”, dilanjutkan lagi pertanyaannya.
“Erm.. saya makan sudah, ndak basah. Saya bawa payung tadi”, sambutku sebagai menjawab pertanyaannya. Aku hairan, tidak dimarahnya aku atas keterlewatanku. Bukan sekejap, hampir setengah jam terlewat dari masa yang dijanjikan. Aku… kalau siapa-siapa yang berjanji denganku tapi lewat begini sudah pastinya aku menyinga padanya tanpa usul periksa. Tapi tidak baginya, sungguh indah akhlakmu Nurul…
“Alhamdulillah”
“Apa itu?”
“Apa?” jawapnya sedikit kaget.
“Maksud kata-katamu tadi”.. kataku lagi.
“Oh itu… maksudnya segala puji-pujian bagi Allah. Di dalam Islam kami digalakkan untuk memuji Allah di atas segala sesuatu yang baik yang kami terima. Tadi kan, Shammy menyatakan bahawa Shammy sudah makan. So, saya memuji Allah di atas kebaikan yang Shammy terima”. Katanya bagi menjawab pertanyaaanku.
“Oh begitu…..” jawabku ringkas. Entahlah akhir-akhir ini aku seolah-olah sudah berubah. Dulu aku amat membenci perkataan-perkataan tentang Islam, tapi akhir-akhir ini jiwaku makin meronta-ronta untuk mengetahui lebih mendalam tentang sebarang ucapan, tindakan dan segala-gala yang berkaitan dengan mereka yang beragama Islam.
Perbincangan kami berkenaan subjek optoeleketronik dan laser begitu lancar sekali pada hari itu. Segala pertanyaanku tentang operasi laser dijawabnya dengan baik. Baru aku tahu bahawa untuk berlakunya operasi sesuatu laser kita memerlukan tiga perkara asas iaitu pancaran terangsang, songsangan populasi dan juga keadaan ambang. Manakala suap balik optik pula diperlukan untuk memastikan bahawa pancaran laser itu sentiasa berterusan. Kesemua perkara ini memainkan peranan penting dalam penghasilan laser dimana jika salah satunya tiada maka cahaya laser tidak dapat dihasilkan.



3. PERTEMUAN PERTAMA

Tidak ku sangka, pertemuan demi pertemuan yang ku atur bersama Nurul sudah berlanjutan hampir 2 bulan. Dan waktu demi waktu itulah kekagumanku padanya makin subur mekar di relung jiwaku. Dia hanya seorang gadis biasa tetapi cukup luar biasa pada pengamatanku. Dia seorang gadis Islam sejati, begitu erat dia menyatukan dirinya dalam hubungannya dengan Tuhannya. Saban waktu aku melihat dia begitu komitmen dengan masanya. Pernah aku meluahkan rasa kagumku padanya atas komitmennya dalam menjaga masanya. Katanya, dalam Islam masa adalah merupakan satu komponen yang amat diutamakan. Dalam kitab agama mereka sendiri iaitu kitab Al-Quran ada satu surah yang namanya ‘Al-Asr’ atau masa. Bahkan ada lagi surah-surah lain yang menggambarkan masa yang aku tidak beberapa ingat namanya. Yang aku ingat hanyalah ‘Ad-Dhuha’ iaitu waktu dhuha dan juga ‘Al-Fajr’ iaitu waktu fajar.
Lalu apabila ku lontarkan persoalan tentang kenapa ramai juga umat Islam yang masih tidak menepati masa. Ramai pelajar Islam yang lewat ke kuliahnya. Ramai kawan-kawanku yang solat apabila telah hampir habis waktunya bahkan ada yang langsung memungkiri janji-janji mereka dalam sebarang pertemuan yang diatur. Dan itu semua merupakan perkara yang amat aku benci. Tetapi Nurul dengan cukup berhemah menjawabnya, katanya macam pelajar-pelajar yang menganut agama seperti mana aku iaitu Kristian Katolik, ramai juga kalangan kami yang turut tidak menepati ajaran kami. Bukankah hakikatnya agamamu melarang memakan khinzir? Lihat sahaja di dalam kitab agamamu, Al-Kitab Bab Imamat fasal II ayat 7 dan 8 yang berbunyi :
“Demikian juga babi hutan, kerana memang berkuku belah iaitu kukunya bersela panjang tetapi tidak memamah biak, haram itu bagimu. Daging binatang-binatang itu janganlah kamu makan dan bangkainya janganlah kamu sentuh, haram semua bagimu ‘’.
Begitu juga dengan Ulangan fasal 14 ayat 8 yang berbunyi :
“Juga babi hutan , kerana memang berkuku belah tetapi tidak memamah biak, haram itu bagimu. Daging binatang-binatang itu janganlah kamu makan dan janganlah kamu terkena bangkainya’’.
Bukankah itu satu penjelasan yang nyata tentang Babi itu haram. Tetapi masih ramai penganut agamamu yang mengingkarinya dan saya yakin ramai yang masih belum mengetahuinya. Jadi jelaslah kepada kita bahawa kita tidak boleh menilai sesuatu agama itu daripada amalan penganutnya tetapi kita hendaklah menilai dari intipati ajarannya. Don’t judge a book by its cover, right.
Pada waktu pertemuan itu, aku agak geram padanya. Tapi sambil itu, diam-diam aku turut kagum dengannya. Bagaimana dia seorang muslim tapi dia turut mengetahui tentang kitabku. Dan hari ini adalah hari pertemuan yang aku janjikan dengannya untuk membuat sedikit perbahasan dan perbincangan tentang Islam dan Kristian. Aku sememangnya kurang arif tentang agamaku. Lantaran itulah aku turut menjemput Candy, rakan sebilikku yang sememangnya arif tentang agama Kristian bahkan dialah antara tentera Kristus yang dilatih khas untuk menjalankan misi penyebaran agama Kristian. Sepanjang pengetahuanku, selama hampir 3 tahun dia di UMS, sudah lebih 3 orang pelajar Muslim yang dia berjaya murtadkan. Apabila aku mengajaknya untuk perbincangan pada hari ini, dia dengan gembira sekali menerima pelawaanku.
Candy dibesarkan dalam keluarga yang berpegang teguh dengan ajaran roman katolik. Menurut Candy, ayahnya adalah seorang paderi kristian di salah sebuah daerah di Sarawak. Dia, dari kecil sudah dilatih khusus untuk menjadi tentera kristus. Sebelum dia menjejakkan kaki ke UMS, dia sebenarnya sudah beberapa kali menjejakkan kaki ke bumi Sabah atas alasan yang sama iaitu menyebarkan agama Kristian kepada pribumi Sabah. Dia mendapat tajaan yang banyak daripada dana kewangan gerakan kristian seluruh dunia. Dan dia amat bangga dalam menjalankan misinya. Katanya, inilah tugas mulia yang disuruh oleh Tuhan Bapak, mengkristiankan seluruh pelosok dunia.
“Shammy… lambat lagi ke kawan kau tu”, teguran Candy menyedarkan aku dari lamunan.
“Mungkin kejap lagi. Aku janji dengannya untuk berjumpa jam 2.00 petang. Sekarang baru jam 1.40 petang”.
“Bukankah kamu cakap jam 1.00 tadi kita kena ada kat perpustakaan”.
“Aku sengaja je cakap macam tu. Nurul tu seorang yang menepati janji. Aku takut kita terlewat. Jadi aku cakaplah kita kena jumpa dia jam 1.00 petang”, kataku menjelaskan perkara yang sebenar. Terlihat Candy masam mencuka mendengar penjelasanku.
“Kan tengok jam kita… aku cakap pada kau tadi bahawa kita nak jumpanya jam 1.00 petang. Tapi akhirnya kita dah terlewat. Kita sampai ke perpustakaan pun jam sudah menunjukkan ke angka 1.30 petang. Betul kan!” kataku sebagai tambahan fakta kenapa aku menyatakan perkara sedemikian.
“Hai.. selamat petang”, satu suara dari belakang mengejutkan aku.
“Selamat petang”, jawab kami serentak.
“Oh Nurul rupanya, ingatkan siapa tadi”, kataku sambil tersenyum.
“Perkenalkan ini Nurul Iman!” kataku kepada Candy sambil menunjuk ke arah Nurul. “Dan ini Candy!” sambil menunjuk ke arah Candy. Aku melihat mereka berdua bersalaman tanda perkenalan.
“Untuk pengetahuan Nurul, saya mengajak Candy untuk turut serta dalam perbincangan kita pada hari ini. Saya rasa Candy lebih arif daripada saya…. Bolehkan?”
“Eh boleh, apa salahnya. Kita nak berbincang di mana ni” satu pertanyaaan dikemukakan oleh Nurul iman.
“Ndak pasti pulak saya”, kataku sepatah.
“Apa kata kalau kita berbincang di bilik seminar. Saya rasa lagi sesuai kita berbincang di sana, tidak mengganggu pelajar-pelajar lain yang sedang mengulangkaji di sini. Lagipun saya sudah tempahkan bilik tu. Apa pandangan Shammy dan Candy?”
“Erm… ok juga tu” kataku menambah. Lalu kami beriringan bergerak ke bilik seminar 2 yang telah pun ditempah oleh saudari Nurul.
\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\\

“Saya rasa kita boleh mulakan perbincangan kita sekarang” kata Nurul selepas masing-masing mengambil tempat. Nurul dan Candy duduk bersetentang antara satu sama lain, manakala aku pula mengambil tempat di sebelah kanan Candy. Suasana bilik ini agak sejuk dengan aircond sekitar 16°c dan aku pasti ia amat sesuai sekali untuk perbincangan kami pada hari ini.
“Boleh kita mulakan sekarang?” kataku seraya membuka perbincangan.
“InsyaAllah boleh, silakan”, kata Nurul.
“Apa kata Shammy atau Candy yang mulakan pertanyaan dulu. Saya akan menjawabnya. Kemudian selepas itu saya pula akan kemukakan pertanyaan dan saya mengharapkan agar Candy atau Shammy dapat menjawab dengan sewajarnya”, kata Nurul lagi.
“Saya rasa eloklah kiranya saya menjadi pemerhati sahaja hari ini, bolehkan?”, kataku mengelak.
“Tiada masalah, hari ini saya yang akan mewakili Shammy”, kata Candy bersemangat.
“Ok, pertanyaan yang pertama daripada saya adalah, apakah pandangan Islam tentang Jesus”, kata Candy memulakan perbincangan.
“Oh itu… Di dalam Islam kami namakannya sebagai Isa Al-Masih. Kami percaya bahawa dia adalah seorang utusan Allah yang diutuskan untuk kaum Israel. Dia juga sepertimana nabi-nabi yang lain, diutus daripada kalangan manusia biasa dan diangkat menjadi rasul”, kata Nurul memberikan penjelasan.
Kemudian Nurul meneruskan kata-katanya dengan satu bacaan yang sungguh enak didengar. Aku yakin itulah ayat Al-Quran, aku selalu mendengar ayat sebegitu dibaca oleh Imam-imam di masjid UMS yang kadang-kadang turut ku dengar melalui jendela bilikku.
“Itu adalah Firman Allah swt di dalam kitab kami iaitu Al-Quran. Ia dinyatakan dalam surah Maryam ayat 29 hingga ayat ke 31, maksudnya: “Maka Maryam menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata: Bagaimana kami akan berbicara dengan anak kecil yang masih di dalam buaian? Berkata Isa: Sesungguhnya aku ini hamba Allah, Dia memberiku al-Kitab (Injil), dan Dia menjadikan aku seorang Nabi. Dan Dia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana sahaja aku berada dan Dia memerintahkan kepadaku (mendirikan) solat dan (menunaikan) zakat selama aku hidup”, katanya lagi.
“Ia sememangnya berbeza dalam agamamu bukan, kami mempercayai bahawa Isa Al-Masih adalah sepertimana utusan-utusan Allah yang lain, hanyalah seorang nabi dari kalangan manusia yang dipilih oleh Allah. Tapi kamu mempercayai bahawa ia seorang anak Tuhan bukan. Sekarang apa pula pandangan agama Kristian tentang Isa Al-Masih”, ku lihat Nurul memberi hujahnya dengan tegas.
“Dalam agama kami, kami amat percaya dan yakin bahawa Jesus adalah Tuhan Anak yang diutus oleh Tuhan Bapak bagi menyelamatkan seluruh alam. Tuhan Anak sanggup menggadaikan dirinya dan mati di kayu salib semata-mata untuk menebus dosa seluruh umat, bukankah ini menunjukkan bahawa kami menempatkan dia di tempat yang lebih mulia disisi kami berbanding di sisi orang-orang Islam”, kata Candy dengan tersenyum seolah-olah menandakan bahawa dia sudah menang.
“Adakah hanya dengan menganggap bahawa Isa itu anak Tuhan menyatakan kamu telah memuliakannya…. Baiklah, jika benar kenyataan kamu bahawa Isa itu adalah anak Tuhan, tunjukkan kepada saya ayat manakah di dalam Al-Kitab yang menyatakan bahawa Jesus pernah menyatakan bahawa dia adalah Tuhan ataupun anak tuhan?”.
“Maaf, saya tidak membawa Al-Kitab pada hari ini”, kata Candy berdalih.
“Ini saya ada membawanya”, kata Nurul sambil menghulurkan Al-Kitab yang dibawanya. “Mengapa gugup, sebenarnya Jesus tidak pernah menyatakan sedemikian bukan?”, kata Nurul lagi setelah melihat Candy teragak-agak untuk mengambilnya. Kemudian Nurul mencapai kembali Al-Kitab tadi sambil membelek-beleknya.
“Lihat ini, di dalam Bab Ulangan fasal 4 ayat 35 menyatakan: “Engkau diberi melihatnya untuk mengetahui Tuhanlah Allah, tidak ada yang lain kecuali Dia “. Begitu juga dengan ayat 39 yang berbunyi “Bahawa Tuhanlah Allah yang dilangit di atas dan di bumi di bawah, tidak ada yang lain”. Ini jelas bukan, di dalam kitabmu sendiri menyatakan bahawa Tuhan hanyalah satu iaitu Allah. Tiada tuhan selain Dia dan inilah kepercayaan kami sebagai umat Islam sebagaimana Firman Allah swt di dalam surah An-Nisa’ ayat 171 dan 172 maksudnya: “Wahai Ahli Kitab, Janganlah kamu melampaui batas dalam agamamu, dan janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar. Sesungguhnya Al-Masih, Isa Putera Maryam itu, adalah utusan Allah dan (yang terjadi dengan) kalimat-Nya yang disampaikan-Nya kepada Maryam, dan (dengan tiupan) roh daripada-Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan rasul-rasulnya dan janganlah kamu mengatakan “(Tuhan itu) tiga”, berhentilah ( dari ucapan itu). (Itu) lebih baik bagimu. Sesungguhnya Allah Tuhan Yang Maha Esa, Maha suci Allah dari mempunyai anak, segala yang di langit dan di bumi adalah kepunyaan-Nya. Cukuplah Allah untuk menjadi pemelihara. Al-Masih sekali-kali tidak enggan menjadi hamba bagi Allah, dan tidak ( pula enggan ) malaikat-malaikat yang terdekat (kepada Allah). Sesiapa yang enggan dari menyembah-Nya dan menyombongkan diri, nanti Allah akan mengumpulkan mereka semua kepada-Nya.” Ini benar bukan? Amat bertepatan sekali dengan pandangan kami orang-orang Islam”.
“Itu Perjanjian Lama, kami menggunakan Perjanjian Baru”, kata Candy tidak mahu mengalah.
“Baiklah, dalam Perjanjian Baru juga dinyatakan dalam Injil Markus fasal 12 ayat 29 dan 30, jelas menunjukkan bahawa tuhanlah Allah, Tuhan yang Esa tetapi tiada maklumat yang menyatakan bahawa tuhan itu Jesus’’, kata Nurul menguatkan hujahnya. Suasana sepi sejenak. Ku lihat Candy sudahpun berkerut dahinya dan merah mukanya menahan geram. Tetapi Nurul tetap dengan mukanya yang tenang setenang air di kali, yang sememangnya menenagkan setiap jiwa manusia yang melihatnya.
‘’Saya rasa untuk ini kita hentikan setakat ini sahaja, saya amat yakin kamu tidak mampu untuk menjawabnya lagi. Sekarang saya mahu tujukan soalan yang seterusnya yang juga masih berkait dengan Jesus’’.
‘’Baiklah’’, kata Candy lemah.
‘’Tadi kamu mengatakan bahawa kamu percaya bahawa Jesus adalah anak Tuhan dan disalib di kayu salib semata-mata sebagai rahmat Tuhan untuk menebus segala dosa manusia. Soalan saya adalah, siapakah yang disalib, manusia ataupun Tuhan ?’’.
‘’Maksudnya…. Saya kurang jelas dengan soalan kamu’’, kata Candy sambil membetulkan postur tubuhnya.
‘’Adakah yang disalib itu sifat kemanusiaan yakni setiap manusia mempunyai sifat sakit, pedih, mati dan sebagainya. Ataupun sifat keTuhanan yang serba gah, serba hebat dan Maha segala-galanya. Jikalau sifat ketuhanan Kristus itu yang disalib, maka bererti Tuhan yang tunggal dan tanpa sekutu itu memikul semua beban seksaan penyaliban dan kematian datang ke atas peribadi Tuhan yakni Tuhan sudah mati. Tetapi kalau kemanusian di dalam Kristus itu yang disalib, ini menunjukkan bahawa Jesus itu hanyalah manusia biasa, dia bukannya Tuhan seperti yang digembar-gemburkan oleh penganut-penganut Kristian di seluruh dunia."
"Maaf, saya tidak mampu menjawabnya, ia adalah perkara ghaib”.
"Jadi maksudnya, kamu sendiri tidak mampu menyatakan bahawa Jesus itu manusia ataupun Tuhan”.
“Sememangnya Jesus adalah Tuhan Anak. Tuhan Bapak telah mengutuskan anaknya ke dunia untuk menebus dosa-dosa manusia di dunia seluruhnya kerana manusia biasa tidak layak menebus dosa orang lain sepertimana yang dibuat oleh Tuhan Anak. Manusia di dunia seluruhnya diliputi oleh dosa”.
“Maksudmu, Kerana tidak ada manusia di dalam dunia ini yang bebas daripada dosa, maka Tuhan sendiri terpaksa turun ke dunia dan ketuhanannya tidak disalib tetapi kemanusiaannya yang disalib. Baiklah, andaikata seorang manusia yang bebas dari dosa diperlukan untuk penebusan dosa, mengapa Tuhan tidak ciptakan seorang manusia yang bersih sehingga tidak payah Tuhan sendiri mati di atas tiang salib kerana penebusan dosa."
"Hanya Tuhan saja yang mengetahui perkara yang ghaib. Tuhan mengutuskan anaknya semata-mata kerana kasihnya tuhan kepada makhluknya."
"Jikalau kasih sayang Tuhan sudah demikian besar kepada mahkluk-Nya, kenapa Dia tidak mengutuskan ”puteranya'' itu awal-awal lagi untuk disalib? Apakah tidak ada manusia sebelum Kristus yang patut dipedulikan oleh Tuhan? Apa sebab Dia baru menunjukkan kasih sayang-Nya itu setelah beribu-ribu tahun berlalu?" kata Nurul mengutarakan hujahnya.
“Saya tidak tahu, ia adalah perkara ghaib. Hanya Tuhan sahaja yang tahu kenapa Tuhan berbuat demikian”.
“Di dalam Al Kitab bahagian Injil Ayub bab 15 fasal ke 14 menyatakan: ''Masakan manusia bersih, masakan benar yang lahir dari perempuan?'' Dan juga telah tercatat pada kitab Roma bab 6 fasal ke 23 bahawa ''upah dosa ialah maut'' yakni kematian ialah bukti yang mati itu penuh dengan dosa. Oleh sebab itu timbul lagi satu pertanyaan. Apakah sebabnya Tuhan tidak menyalibkan orang lain yang berdosa supaya ketuhanannya yang dapat diselamatkan? Menurut kamu seseorang yang berdosa tidak boleh menebus dosa orang lain, jadi jelaslah Kristus tidak sesuai untuk penebusan dosa."
“Sepertimana yang saya katakan sebentar tadi, hanya Tuhan sahaja yang tahu tentang perkara-perkara ghaib”, kata Candy lagi dengan mukanya yang merah menyala seperti daging yang merah dek dipanggang di atas api. Marah mungkin.
Pertemuan hari itu berakhir hampir jam 5.00 petang kerana menurut Nurul Iman, jam 6.00 dia perlu berada di surau kolej kediaman E untuk solat Maghrib di sana. Ada diskusi katanya selepas maghrib. Dan akhirnya kami berjanji untuk berjumpa kembali pada keesokan harinya pada masa dan tempat yang sama. Sambil itu Nurul menawarkan dirinya untuk menempah bilik seminar tersebut.
4. PERTEMUAN KEDUA

Hari ini terpaksa aku menapak seorang diri ke perpustakaan. Candy sudah tidak mahu meneruskan perbincangan tentang agama Islam dan agama Kristian. Aku begitu pelik sekali dengannya. Adakah dia takut? Entahlah… sedangkan sebelum ini dialah begitu bersemangat apabila aku menyatakan tentang kesudian Nurul Iman untuk mengadakan perbincangan tentang agama Islam dan Kristian. Katanya pada waktu itu, inilah peluang yang ditunggu-tunggu. Peluang untuk membawa orang Islam ke jalan kebenaran. Tetapi sekarang, dikata pula bahawa Nurul Iman bukannya mahu mencari kebenaran tetapi sengaja mahu menyesatkan orang lain. Tetapi sepanjang pengamatanku, sepanjang perbincangan petang semalam tiada pula desakan besar yang dibuat oleh Nurul Iman. Semua kenyataannya adalah fakta, bukan hanya fakta yang diambil dari kitab Al-Quran sahaja tetapi juga dia tetap memetik fakta daripada Al-Kitab. Bukankah itu tandanya satu kejujuran dalam perbincangan. Entahlah, pening aku apabila memikirkan sikap Candy. Apa yang akan aku beritahu Nurul nanti tentang Candy? Kalau aku nyatakan keadaan sebenar jelas menunjukkan kelemahan Candy dan seterusnya menunjukkan kelemahan agama Kristian. Sebelum ini dengan bongkak Candy menyatakan bahawa Nurul akan tunduk di tangannya. Tapi sekarang sebaliknya pula yang berlaku, dia pula yang lari sebelum perbincangan seterusnya.
Hari ini aku bukan datang dengan tangan kosong. Ada beberapa persoalan yang ingin aku tujukan kepada Nurul Iman. Persoalan-persoalan yang sememangnya sudah lama berlegar di pemikiranku tentang agama Islam. Semalaman aku tidak tidur malam tadi kerana memerah otak untuk menyediakan soalan-soalan buat hari ini. Kesemuanya sudahpun ku catat dalam buku catatanku dan tersemat kemas dalam gengaman tanganku saat ini.
“Selamat petang, lama sudah Nurul menunggu?” kataku basa basi dengan Nurul.
“Selamat petang, ndak.. baru juga saya tungga di sini”, kata Nurul ramah dengan senyuman yang tidak pernah luntur dari bibirnya. Sungguh manis dan ayu sekali dia begitu.
“Eh, sorang je, mana Candy?”, katanya menambah. Dan sememangnya soalan yang aku sudah teramat yakin akan ditujukan padaku hari ini.
“Dia ada urusan sedikit, dia minta maaf atas keuzurannya pada pertemuan hari ini”, kataku sedikit berbohong.
“Ok, ndak apa”. “Jom teruskan perbincangan kita pada hari ini”.
“Untuk hari ni saya ada beberapa persoalan, saya berharap agar Nurul dapat menjelaskan kepada saya”, kataku memulakan perbincangan.
“Insya ALLAH sekadar mana yang saya mampu nyatakan”.
“Pertama sekali, adakah Islam meletakkan wanita pada kelas kedua. Poligami digalakkan di dalam Islam dan juga Islam membenarkan seorang suami memukul isterinya”.
“Erm… Islam sesekali tidak pernah meletakkan wanita itu pada kelas kedua. Tetapi Islam itu telah meletakkan seseorang itu sesuai dengan kondisinya. Dimana seorang lelaki, sifat asasnya adalah keras, tegas, kuat dan sebagainya lagi dan ini sesuai baginya dipertanggungjawabkan sebagai penghulu keluarga. Manakala sifat wanita pula adalah lemah lembut, sopan sambut dan halus budi pekertinya. Dan ini sesuai baginya sebagai pendamping suami, menjadi pembantu dalam rumahtangga. Sebagaimana Firman Allah swt dalam surah Ar-Rum ayat 21, maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” Dan Firman Allah swt lagi dalam surah At-Taubah ayat ke 71, maksudnya: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”. Bukankan ini tandanya Allah telah menyamakan taraf antara lelaki dan wanita? Cuma yang membezakan antara keduanya adalah bagaimana bentuk sumbangan mereka kepada Islam sesuai dengan sifat masing-masing”.
“Sememangnya poligami digalakkan di dalam Islam semata-mata kerana rahmat Allah”, sambung Nurul lagi.
“Maksudnya!” kataku mencelah.
“Ya… lihat sahaja suasana hari ini. Kuantiti wanita telah pun melebihi kuantiti lelaki. Kajian pada tahun 2000 sahaja telah menyatakan bahawa di Malaysia purata kelahiran setahun antara jantina lelaki dan perempuan adalah 1 nisbah 3. Bukankah tanpa poligami akan banyak berlakunya kebejatan sosial. Ramai wanita menjadi pelacur kerana mahu memuaskan nafsu mereka dan banyak rumahtangga yang hancur kerana ramai wanita yang kehausan belaian kasih sayang tapi tidak mampu mendapatnya dengan jalan yang baik kerana poligami diharamkan. Tetapi bagi seorang lelaki yang ingin melakukan poligami ia bukan boleh dilaksanakan dengan sembarangan sahaja. Islam telah menggariskan syarat yang ketat dalam persoalan ini. Di dalam Al-Quran surah An-Nisa ayat ke 3 Allah swt berfirman maksudnya:
“Dan jika kamu takut tidak dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (bilamana kamu mengahwininya), maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi; dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak dapat berlaku adil maka kahwinilah seorang saja, atau hamba-hamba yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.”
Dan Rasulullah saw mengingatkan dalam sabda baginda bahawa:
“Apabila seorang suami mempunyai dua orang isteri kemudian dia tidak berbuat adil antara keduanya, maka dia akan datang pada hari kiamat sedang separuh badannya terjatuh”.
Ini menunjukkan bahawa Islam telah menetapkan syarat utama bagi seseorang yang ingin berpoligami adalah keadilannya. Jika seorang suami tidak mampu berlaku adil maka di akhirat kelak ia akan dihukum oleh Allah swt.
“Manakala tentang kenyataan Islam membenarkan seorang suami memukul isterinya, ingin dulu saya bawakan sabda atau kata-kata Rasulullah saw: “Orang pilihan di antara kalian adalah yang paling berbuat baik kepada perempuan (isteri)n“ Dan Islam amat melarang keras tindakan memukul seseorang wanita sebagaimana sabda Rasulullah saw: ”Jangan kalian pukul kaum perempuan! ” Dalam hadits yang lain, Rasulullah saw menjelaskan bahawa sebaik-baik lelaki atau suami adalah yang paling baik pada isterinya. Dan memang, di dalam Al-Qur’an ada sebuah ayat yang membolehkan seorang suami memukul isterinya. Tetapi harus kita perhatikan dengan baik kenapa isteri itu boleh dipukul? Kerana apa? Dan juga bagaimana cara yang dibolehkan untuk memukulnya? Sebagaimana Firman Allah swt dalam surah An-Nisa pada ayat 34: “Sebab itu, maka wanita yang salih, ialah yang ta'at kepada Allah lagi memelihara diri semasa ketiadaan suaminya oleh karena Allah telah memelihara (mereka). Wanita-wanita yang kamu khuatiri nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah diri dari tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.”
Jadi telah jelas dalam Firman Allah tadi bahawa wanita yang layak dipukul oleh suaminya hanyalah wanita yang telah jelas melakukan nusyuz”.
“Nusyuz itu apa?” kataku meminta penjelasan lanjut.
“Nusyuz adalah tindakan atau perilaku seorang isteri yang tidak mentaati suaminya atau dengan ertikata lain ia melakukan penderhakaan kepada suaminya. Dalam Islam suami isteri adalah ibarat dua ruh dalam satu jasad. Jasadnya adalah rumah tangga. Kedua-duanya harus saling menjaga, saling menghormati, saling mencintai, saling menyayangi, saling mengisi, saling memuliakan dan saling menjaga. Isteri yang nusyuz adalah isteri yang tidak lagi menghormati, mencintai, menjaga dan memuliakan suaminya. Isteri yang tidak lagi komitmen pada ikatan suci pernikahan. Jika seorang suami melihat ada gejala isterinya hendak nusyuz atau hendak menodai ikatan suci pernikahan, maka Al-Qur’an memberikan cara bagaimana seorang suami harus bertindak agar isterinya kembali ke jalan yang benar, demi menyelamatkan keutuhan rumah tangganya. Di dalam ayat Al-Qur’an tadi Allah telah memberikan kaedahnya melalui tiga tahap iaitu pertamanya melalui nasihat yang baik, jika tidak berjaya maka si suami disuruh untuk mengasingkan tempat tidur antara keduanya dan jika cara ini juga tidak berkesan maka dengan itulah baru boleh dipukul.
Tetapi Islam juga menetapkan cara pukulannya. Si suami tidak boleh memukul isteri dengan sewenang-wenangnya. Syarat-syaratnya adalah cukup baik sekali iaitu: Pertama sekali, kedua-dua cara tadi telah dilaksanakan tetapi tidak berjaya, keduanya tidak boleh memukul muka. Kerana bagi seseorang manusia muka adalah segala-galanya bagi mereka dan ketiganya pula ialah tidak menyakitkan sebagaimana sabda Rasulullah saw: “Bertakwalah kepada Allah dalam masalah perempuan (isteri). Mereka adalah orang-orang yang membantu kalian. Kalian punya hak pada mereka, yaitu mereka tidak boleh menyentuhkan pada tempat tidur kalian lelaki yang kalian benci. Jika mereka melakukan hal itu maka kalian boleh memukul mereka dengan pukulan yang tidak menyakitkan (ghairu mubrah). Dan kalian punya kewajiban pada mereka yaitu memberi rezeki dan memberi pakaian yang baik.’
Para ulama ahli fiqh dan ulama tafsir menjelaskan kriteria ‘ghairu mubrah’ atau ‘tidak menyakitkan’ iaitu tidak sampai meninggalkan bekas, tidak sampai membuat tulang retak, dan tidak di bagian tubuh yang berbahaya jika terkena pukulan. Dengan penghayatan yang utuh pada kandungan ayat suci Al-Qur’an itu dan makna hadis-hadis Rasulullah itu akan jelas sekali seperti apa sebenarnya ajaran Islam. Islam amat mementingkan kemaslahatan umatnya. Bahkan sebenarnya Islam amat memuliakan wanita sebagaimana Sabda Rasulullah apabila ditanya oleh sahabat kepada siapakah aku perlu berbuat baik. Jawab Rasulullah saw “Ibumu”, kemudian siapa lagi tanya sahabat itu lagi, “Ibumu” jawab Rasulullah saw, kemudian siapa lagi, “Ibumu”, dan kemudian sahabat bertanya lagi, kepada siapa lagi ya Rasulullah, “Bapamu dan kemudian orang yang paling hampir denganmu”.
“Ada apa-apa persoalan lagi”, tanya Nurul seketika kemudian.
“Sebenarnya ada banyak lagi, tapi saya rasa lain kali sajalah. Lagipun sudah hampir jam 3.30 petang. Nurul mahu solat Asar pula kan?”, kataku menjawab pertanyaannya.
Dia tersenyum sambil mengangguk tanda mengiyakan kenyataanku. Aku cukup kagum dengannya. Segala persoalan yang ku lontarkan padanya dijawab dengan jawapan yang cukup bernas dan amat-amat memuaskan hatiku. Sebelum berpisah pada hari itu, dia menghadiahkan padaku sebuah buku yang bertajuk ‘Ada Apa Dengan Islam’ tulisan Dato’ Dr. Haron Din. Katanya kalau aku mahu tahu lebih mendalam tentang Islam, silalah baca buku tersebut. Aku mengambilnya walaupun masih ada keraguan dalam sanubariku.



5. NUR HIDAYAH

Perbincangan demi perbincangan yang ku buat hari demi hari bersama Nurul Iman akhirnya membuka benak ruangan pemikiranku. Baru aku tahu, terlalu banyak momokan dan tuduhan melulu yang dilontarkan kepada Islam. Entahlah… makin lama, aku makin keliru dengan diriku sendiri. Sebelum aku mengenali Nurul Iman, hatiku cukup benci kepada agama Islam. Tetapi setelah mengenali dirinya perasaan hatiku untuk mengenali Islam kian hari kian mendalam. Perasaan itu membuak-buak dan menghasilkan gelombang perasaan yang kuat. Ibarat air bah yang datang tiba-tiba, terlalu laju hingga mampu meruntuhkan benteng-benteng keegoanku selama ini.
Selama ini aku melihat Islam sebagai suatu agama yang menyeru ke arah keganasan. Amerika dan barat begitu hebat menyebarkan kenyataan bahawa Islam adalah satu agama pengganas. Islam menyeru umatnya membunuh orang lain sewenang-wenangnya. Aku juga turut mengikuti perkembangan politik tanah air. Aku melihat pemimpin-pemimpin Islam sendiri menolak hukum hudud. Yang mana setahu aku, itu undang-undang yang dituntut oleh agama mereka sendiri. Ulama-ulama mereka sendiri menyatakan bahawa undang-undang hudud itu kejam. Orang mencuri sahaja dipotong tangan. Habis potong tangan kaki pula yang dipotongnya. Ulama-ulama mereka sendiri yang menyatakan bahawa solat dalam Islam adalah perkara remeh. Pernah aku lihat dalam ‘youtube’, seorang pemimpin negara yang bertaraf ustazah menyatakan bahawa apabila seorang perenang negara berenang merentasi selat Inggeris, orang-orang Islam yang lain asyik bertanya perkara yang kecil dan remeh. Dia dah solat ke belum? Aku kadang-kadang keliru. Ulama-ulama mereka sendiri memperlekehkan Islam dengan menyatakan undang-undang Islam itu kejam, sudah tidak sesuai dengan zaman bahkan ibadah solat adalah perkara yang remeh dan sebagainya lagi, sedangkan apa yang aku selalu terdengar dari kuliah-kuliah maghrib di corong-corong speaker masjid UMS bahawa solat adalah satu perkara yang amat besar dalam Islam. Sesiapa sahaja yang tidak sempurna ibadah solatnya maka amalan-amalan kebaikan yang lain tidak akan dikira di sisi Tuhan mereka pada hari akhirat kelak.
Tapi aku amat bersyukur kepada Tuhan, kehadiran Nurul banyak membantu aku dalam ertikata mengupas segala apa yang berlaku. Nurul menyatakan padaku bahawa Islam amat sekali menekankan tentang kebaikan akhlak. Katanya sebagaimana sabda Rasulullah saw: “Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada. Susulilah keburukan dengan kebaikan yang akan menghapuskan keburukan itu. Bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik”. Barat hari ini sengaja melabelkan Islam sebagai agama yang menyeru kepada keganasan, ini tidak lain semata-mata atas kebencian mereka kepada agama Islam itu sendiri. Lihat sahaja kes 11 September yakni kes keruntuhan World Trade Centre (WTC). Belum apa-apa lagi, tuduhan tidak berasas terus dilontarkan pada umat Islam. Tetapi laporan mutakhir yang dibuat oleh 911 menunjukkan bahawa hakikatnya kerajaan Amerika sendiri yang meruntuhkannya dengan menggunakan bom berkuasa tinggi. Manakala tentang kenyataan-kenyataan berkaitan dengan undang-undang Islam pula Nurul menyatakan padaku bahawa itu menunjukkan bahawa mereka yang berkata-kata itu sebenarnya mereka yang longgar hubungannya dengan Allah swt. Mereka tidak faham tentang hakikat Islam. Mereka adalah golongan yang sesat dengan dunianya kerana terpedaya dengan dunia dan hasutannya yakni syaitan laknatullah. Allah swt telah mengingatkan hamba-hambaNYA yang beriman denganNya sebagaimana yang terakam dalam kitab Al-Quran, surah Al-Baqarah ayat 208: “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam itu secara keseluruhan dan janganlah kamu ikut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu”. Sesungguhnya undang-undang dalam Islam adalah pencegahan dan rahmat. Ia mampu mencegah orang lain daripada terus melakukan kesalahan yang sama. Juga rahmat bagi si pesalah. Sesiapa yang telah dijatuhkan hukuman sepertimana yang telah ditetapkan Allah dan mereka benar-benar insaf juga bertaubat dari kesalahannya, insya ALLAH ia akan diampuni oleh Allah swt.
Kemudian aku mengutarakan lagi beberapa persoalan lain. Persoalan-persoalan ini aku timbulkan apabila aku melihat satu video berkenaan seorang murtad bernama Benjamin Stephen. Klip video itu telah dirakamkan pada 25 Mac 2006 di Kuching, Sarawak. Dalam video itu ia menyatakan bahawa malaikat orang Islam itu buta kerana pada waktu bulan ramadhan umat Islam memasang pelita supaya malaikat rahmat dapat datang ke rumah orang-orang Islam. Kalau tidak dipasang pelita, malaikat tak dapat datang sebab buta. Stephen juga mengatakan nabi Muhammad itu sendiri tidak pasti takdirnya. Di dalam Islam umat Islam mesti membaca surah Al-Fatihah setiap kali solat. Nabi Muhammad selalu membaca surah Al-Fatihah di mana dalam surah Al-Fatihah ayat keenam maksudnya “Tunjukilah kami jalan yang lurus”. Katanya bukankah ini menunjukkan bahawa Nabi orang Islam itu sendiri tak pasti takdirnya.
“Astagfirullahhal’adzhim”, satu kata yang terlucut dari bibir Nurul Iman sebaik sahaja aku habis berkata-kata.
“Apa maksudnya itu”, kataku meminta penjelasan.
“Maksudnya aku memohon keampunan daripada Allah, umat Islam digalakkan untuk berkata-kata demikian. Dalam Islam, umatnya diseru untuk menjadikan kehidupannya sebagai ibadah kepada Allah swt. Setiap kata, tindakan malahan hati hendaklah sentiasa beribadah kepada Allah. Berkata hendaklah perkara yang baik-baik, bertindak hendaklah kepada kebaikan dan hati hendaklah sentiasa mengingati Allah”
“Wah, cantiknya!”, terpacul kata-kata itu dari bibir mungilku tanda kagum. Ku lihat Nurul tersenyum melihat telatahku.
Kemudian Nurul menerangkan kepadaku bahawa itu adalah tuduhan songsang yang dilemparkan kepada Islam. Tentang penggunaan pelita itu bukanlah tandanya malaikat itu buta tetapi ia menandakan keraian dan kegembiraan umat Islam menyambut bulan ramadhan. Pada bulan Ramadhan pahala ibadah umat Islam ditingkatkan oleh Allah swt. Sebenarnya penggunaan pelita itu hanyalah adat orang Melayu sahaja, umat Islam di luar dari Malaysia tiada pun memasang pelita. Islam datang bukan menghapuskan adat sesuatu kaum tetapi mengislamisasikannya. Sebagai contoh, budaya orang lelaki Melayu adalah memakai baju Melayu, Islam tidak pernah melarang umat Islam membuang baju Melayu dan hanya memakai jubah sahaja, tetapi Islam membenarkannya selagi mana ia tidak lari dari syariat Islam. Jika seseorang lelaki hendak menunaikan solat, ia boleh memilih mahu memakai seluar atau kain pelikat tetapi syaratnya mesti longgar dan menutup antara pusat dan lutut kerana ia adalah aurat seorang lelaki. Manakala tentang Rasulullah saw tidak pasti takdirnya. Sebelum saya menjawab persoalan ini, saya mau bertanya kembali kepada Syammy, adakah Syammy pasti Syammy akan mati bila?
“Semestinya tidak, setiap orang tidak pasti bila matinya”, jawabku tegas.
Begitulah, setiap orang tidak pasti apakah akan berlaku pada dirinya suatu hari nanti. Saya sendiri tidak pasti apakah saya nak buat esok. Sememangnya saya ada perancangan tetapi saya tidak pasti adakah perancangan aktiviti saya esok dapat saya laksanakan. Sebab itulah kami diseru supaya sentiasa meminta pertolongan Allah dalam setiap urusan, mudah-mudahan Allah menetapkan kami dalam jalan yang baik iaitu dalam keimanan yang sebenar-benarnya kepada Allah. Memang dalam agama Kristian menyatakan bahawa semua orang Kristian akan masuk syurga kan. Itulah satu kepalsuan agama Kristian.
“Kenapa Nurul cakap macam tu”, kataku tanda protes
“Yelah, setiap orang Kristian akan masuk Syurga, tidak kira dia sepanjang hidupnya melakukan kesalahan ataupun tidak, asalkan dia dibaptiskan dan setiap kali buat jahat berjumpa paderi, kemudian cerita sedikit dan selesai. Itu tandanya ia tidak adil. Tetapi kepercayaan kami di dalam Islam. Setiap manusia akan dipertanggungjawabkan di atas setiap tindakan yang mereka lakukan. Sesiapa yang melakukan kebaikan walaupun sedikit akan diganjarkan dan setiap kejahatan walaupun sedikit akan dibalas oleh Allah swt seperti dinyatakan dalam surah Az-Zalzalah ayat 7 dan 8 maksudnya:”Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat balasannya. Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat balasannya pula”. Bukankah ini menunjukkan keadilan Islam. Dan keadilan itulah yang benar.
Pertemuan demi pertemuan itu semakin banyak menimbulkan kesangsianku kepada agama Kristian, tetapi itu bukan perkara yang mudah untuk aku menerima Islam. Aku berazam untuk mengkajinya dengan lebih mendalam. Di samping itu, Nurul tidak henti-henti menghadiahkanku dengan pelbagai hadiah, dan hadiah yang ku rasa amat berharga buatku adalah sebuah novel bertajuk Isabella dan juga video bertajuk Debate in Usa (Ahmed Deedat).



6. ISLAM PILIHANKU

Pada cuti semester kali ini aku telah membulatkan tekadku untuk membuat pengkajian berkenaan agama Islam dan juga agama Kristian. Aku mahu pastikan yang manakah satu yang benar dan yang mana pula yang palsu. Sesungguhnya apabila dua perkara yang bertentangan dikumpulkan, semestinya ada satu yang salah dan satu lagi yang betul. Aku sememangnya amat-amat ingin membuktikannya kerana aku tidak mahu di akhirat kelak aku tergolong dalam golongan orang-orang yang rugi dan dimasukkan ke dalam neraka yang panas membakar. Dan aku amat yakin sememangnya semua orang mahukan syurga. Kecuali mereka-mereka yang dungu sahaja ataupun mereka-mereka yang tidak percayakan Tuhan, athiesme.
Lucu juga aku apabila aku pernah terdengar kawan-kawanku bercerita tentang teori Darwin. Katanya, menurut teori Darwin setiap perkara di alam ini berlaku dengan sendirinya. Katanya manusia berasal dari proses evolusi, dari seekor beruk kemudian bertukar menjadi seorang manusia. Tapi bukankah beruk masih ada hari ini, bilakah pula beruk tu nak bertukar menjadi manusia? Sengaja hatiku berseloroh menyatakan kelucuan pada diri sendiri. Lihat sahaja alam ini, setiap kejadian itu teratur dengan baiknya. Kenyataan sains telah menyatakan bahawa jika seinci sahaja planet bumi atau planet-planet yang lain tergelincir dari orbitnya nescaya hancur musnahlah seluruh alam ini. Bukankah ini bukti adanya Pencipta yang menyusun perjalanan seluruh alam ini? Bisik hatiku tanda protes dengan Teori Darwin yang tidak berasas itu.
Seterusnya apabila kajian demi kajian yang aku laksanakan, terlalu banyak penyimpangan yang terdapat dalam agama Kristian. Menurut Ustaz Ahmeed Deedat bahawa terdapatnya percanggahan demi percanggahan antara kitab bible itu sendiri bahkan juga terdapatnya percanggahan-percanggahan fakta walaupun di dalam kitab yang sama. Memang benar, wujudnya banyak versi kitab Bible antaranya adalah, The New King James Version, Revised Standard Version, Douay Version, Most Ancient dan banyak lagi. Antara pertentangan fakta yang wujud dalam bible adalah berdasarkan kata-kata Saint Paulus di dalam kitab yang sama pada bahagian Kisah para Rasul. Pada waktu ini aku malu untuk mengatakan Kitab Bible adalah dari Tuhan. Lihat sahaja di dalam kitab yang sama dan kisah yang sama terdapat 3 keadaan fakta yang berbeza. Di dalam bab 9 ayat 3 Injil Kisah Para Rasul ada disebutkan bahawa: Paulus sedang dalam perjalanannya ke Damsyik dengan sahabat-sahabatnya ketika sudah dekat dengan kota itu, tiba-tiba cahaya memancar dari langit mengelilingi dia. Dia rebah ke tanah dan mendengar suatu suara yang berkata: ''Kenapa menganiayai aku?'' Sementara sahabat-sahabatnya terus termangu-mangu. Mereka ada mendengar suara itu tetapi tidak melihat seorang jua pun. Di dalam bab 22 ayat 6 hingga 7, kitab yang sama menceritakan sahabat-sahabat itu ada melihat cahaya di langit tetapi tidak mendengar suara dan dalam kitab itu juga pada bab 26 ayat 13 menyatakan bahawa Saint Paulus dan sahabat-sahabatnya dikelilingi oleh cahaya dan mereka semua terjatuh ke tanah.
Aku juga keliru dengan keadaan umat Kristian yang konon-kononnya umat yang dijanjikan syurga oleh Tuhan. Bagaimana mereka akan masuk syurga sedangkan arahan-arahan Tuhan mereka sendiri mereka ingkari. Lihat sahaja hari ini, umat Kristian di seluruh dunia seolah-olah sudah menerima bahawa amalan meminum arak adalah amalan yang tidak menjadi kesalahan. Sedangkan ia telah dijelaskan dalam kitab Bible bahawa, amalan meminum arak adalah merupakan larangan Tuhan sebagaimana termaktub dalam Imamat fasal 10 ayat 8 yang berbunyi "Janganlah engkau minum anggur atau minuman keras, dan engkau serta anak-anakmu , bila kamu masuk ke dalam khemah pertemuan, supaya jangan kamu mati. Itulah suatu ketetapan untuk selamanya bagi kamu turun-temurun. Aku juga melihat bahawa ada kalangan mazhab kristian yang menolak Kitab Perjanjian Lama ataupun Taurat, sedangkan dalam Perjanjian Baru sendiri ada kenyataan yang menyebut: ‘’Janganlah kamu menyangka bahawa Aku datang untuk meniadakan hukum Taurat atau kitab para nabi. Aku datang bukan untuk meniadakannya, melainkan untuk menggenapinya. Kerana aku berkata padamu :’’Sesungguhnya selama belum lenyap langit dan bumi ini, satu inota atau satu titik pun tidak akan ditiadakan dari hukum Taurat, sebelum semuanya terjadi’’. Perkara ini terakam dalam Injil Matius fasal 5 ayat 17 dan 18. Aku sempat membaca kata-kata yang telah diungkapkan oleh Rev. Dr Davies yang tertulis maksudnya: “Kenyataannya, tiada sarjana moden yang serius yang percaya bahawa kata-kata yang terdapat di dalam Perjanjian Baru adalah rekod kata-demi-kata apa yang telah diucapkan. Malahan, seorang sarjana konservatif seperti Headlam harus mengakui bahawa kata-kata tersebut 'dalam suatu maksud', (beliau tidak menyatakan dalam maksud apa) adalah 'karangan' penulis itu sendiri. Schimedel, dalam artikelnya mengenai Kisah Rasul-rasul di dalam Encyclopedia Biblica dengan terus-terang berkata bahawa 'tiada sebarang keraguan bahawa di dalam setiap kes, penulis telah membina (kata-kata tersebut) menurut pemahamannya terhadap keadaan tersebut'. Schweitzer berpendapat bahawa kata-kata di dalam Kisah Rasul-rasul mungkin 'berasaskan tradisi-tradisi kata-kata yang telah diucapkan, tetapi bentuk yang kita dapati hari ini sesungguhnya adalah kata-kata penulis Kisah Rasul-rasul yang disuaikan menurut pemahamannya terhadap fakta-fakta". Entahlah aku semakin keliru dengan agama yang ku anuti sendiri.
Kajianku juga telah menunjukkan bahawa Doktrin Trinitas dalam agama Kristian dicetuskan oleh seorang guru besar bernama Agustine 354-430M dalam bukunya berjudul Trinitate. Kepercayaan trinitas ini akhirnya telah mempengaruhi umat Kristian lalu satu persidangan diadakan di kota Constantinopel tahun 381M. melalui persidangan ini, satu ketetapan telah dibuat dan menetapkan bahawa Ruhulkuddus sebagai oknum dari Tuhan. Aku rasa Augustine telahpun terpengaruh dengan amalan trinitas dalam agama-agama yang lain seperti agama Hindu yang berpegang dengan Trinitas Brahma, Wisnu dan juga Syiwa, agama kuno Mesir yang berpegang dengan Trinitas Oziris, Iris dan juga Horus serta agama Persia yang berpegang dengan Trinitas Ormuzd, Ahriwan dan juga Mitras.
Untuk melengkapkan pengkajianku, aku tidak lupa untuk mengikuti kelas-kelas Fardhu Ain buat saudara baru yang diadakan di Masjid negeri Sabah setiap hari minggu. Sepanjang cuti semester kali ini aku memanfaatnya sebaik mungkin masa yang aku ada untuk menyelesaikan misi kajian. Dan akhirnya aku yakin Islamlah agama wahyu, agama samawi utusan Tuhan. Ia membawa manusia mentauhidkan Allah yang Esa dan menjauhkan syirik kepada-Nya. Alhamdulillah atas nikmat hidayah kurniaanMU Tuhan Yang Esa. Kini aku sedari bahawa Islamlah agama yang benar di sisi Allah dan agama yang menjadi pilihanku buat selama-lamanya.
////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////

Setelah aku membulatkan tekadku, aku menyatakan kesediaanku untuk menganut agama Islam kepada Nurul melalui panggilan telefon pada suatu pagi. Dan dihujung talian sana aku mendengar kesyukuran yang tidak terhingga daripada Nurul dalam ruang esak tangis kegembiraannya. Tetapi Nurul mengingatkan daku bahawa Islam bukan satu agama yang boleh dipermainkan. Ia bukan boleh masuk hari ini dan esok keluar kembali. Islam amat menjaga kedaulatan agamanya. Islam telah menetapkan batas-batasnya yakni hududnya. Setiap orang yang keluar daripada Islam akan dikenakan hukuman bunuh mengikut syariat Islam, jika setelah dinasihati mereka tetap enggan bertaubat. Ini bukan menunjukkan bahawa Islam kejam, tetapi tanda kemuliaannya. Islam tidak pernah memaksa orang menganuti agamanya seperti Firman Allah swt dalam surah Al-Baqarah ayat 256 maksudnya: “Tidak ada paksaan di dalam agama Islam (memasuki Islam). Telah nyata petunjuk dari kesesatan. Maka barangsiapa menghindari Taghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia memegang tali yang kukuh yang tidak akan putus. Dan bahawasanya Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. Tetapi Islam amat bertegas jika seseorang ingin keluar daripada agamanya. Aku menyatakan padanya bahawa hatiku telah lurus dan ikhlas untuk mengabdikan diri ini dalam agama yang benar iaitu agama Islam yang mulia. Aku mendengar sekali lagi laungan takbir membesarkan keagungan Allah di hujung talian sana.
Selepas pengakuanku itu. Nurul telah bersegera datang ke Sabah dari bercuti. Walaupun cuti kami masih berbaki seminggu lagi, katanya apa salah baginya untuk datang lebih awal menyambut kedatangan saudara baru dalam agamanya. Setiap anggota Islam adalah saudara antara satu sama lain. Sebagaimana sabda Rasulullah saw : “Orang Islam adalah saudara bagi orang Islam yang lain, yang mana tidak boleh menzalimi antara satu sama lain, dan jangan mengabaikan pertolongan kepadanya dan sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya, Allah sentiasa menunaikan hajatnya, dan sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada bala atau sebarang kesusahan, Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari qiamat dan sesiapa yang menutup keaiban saudaranya, Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat ”. Aku lalu berbincang dengannya tentang kesediaanku memeluk agama Islam. Tetapi aku masih agak takut apabila memikirkan tentang keluargaku terutamanya beliau(ayah) ku. Walaupun keluarga kami bukanlah keluarga yang benar-benar kuat dalam agama Kristian tetapi pernah terjadi satu kisah dalam keluargaku. Beliauku pernah mengacukan senapang kepada kepala adiknya yang bongsu beberapa tahun yang lalu ekoran kenyataan adiknya untuk menganut agama Islam. Lantaran itu bapa saudaraku melarikan diri dari rumah dan tidak kembali lagi selepas itu. Aku mendapat tahu bahawa bapa saudaraku itu membawa diri ke semenanjung Malaysia.
Tetapi setelah Nurul membacakan satu hadis nabi, hatiku menjadi tenteram dan aman. Aku nekad kini, tiada sesiapapun yang boleh menggugat keinginanku yang kini kuat membuak di jiwaku saat ini. Sabda Rasulullah saw maksudnya: "Peliharalah perintah Allah nescaya ia akan memelihara engkau (sepanjang masa), peliharalah larangan Allah nescaya engkau dapati ia selalu di hadapanmu. Apabila kamu meminta, hendaklah kamu meminta kepada Allah dan apabila kamu memohon hendaklah kamu memohon petolongan dari Allah. Ketahuilah, seandainya umat manusia sepakat untuk memberi sesuatu manfaat untukmu, mereka tidak dapat memberinya melainkan mengikut apa yang telah Allah tetapkan untukmu dan sekiranya mereka sepakat untuk menimpakan engkau dengan sesuatu keburukan tidaklah mereka dapat melakukannya melainkan dengan sesuatu yang Allah Taala telah tentukan ke atas dirimu, kerana telah terangkat pena dan telah kering kertas (telah ditentukan kesemuanya) ".
Sambil-sambil berbincang dengan Nurul, ia mencadangkan nama Islamku sebagai Aisyah Humaira’. Dia kata namanya amat cocok sekali denganku, pipiku yang sedikit kemerah-merahan apabila tersenyum bertepatan sekali dengan maksud Humaira itu yang maksudnya yang kemerah-merahan pipinya. Cantik katanya. Aku pun turut menyetujui nama itu. Aku bersetuju bukan kerana diriku cantik. Tidak! Tidak sesekali. Aku setuju kerana kebijaksanaannya. Aku pernah membaca beberapa buku yang ada menyentuh tentang Aisyah, isteri Rasulullah saw sewaktu pengkajianku tentang Islam semasa cuti semester baru-baru ini. Aisyah Humaira’ ummul mukminin menjadi rujukan para sahabat selepas kewafatan Rasulullah saw. Beliau adalah orang ketiga yang banyak meriwayatkan hadis Rasulullah saw selepas Abu Hurairah dan Ibnu Umar. Aku ingin sekali menjadi sepertinya, seorang wanita anggun, menjadi rujukan orang ramai juga menjadi pendamping setia bagi seorang suami yang gigih berjuang dalam jihad fisabillah. Seorang isteri yang menyenangkan walaupun dalam keadaan mana sekalipun seorang suaminya. Redha menerima ketentuan hidup dari Allah dan menyerahkan diri 100% dalam usaha menegakkan kembali syiar Islam di muka bumi Allah ini. Aisyah Humaira’ sesungguhnya namamu mekar di sepanjang perjalanan sejarah. Harum mewangi semerbak kasturi, mekar indah di taman hati setiap insan beriman.


6. USRAH

Rupa-rupanya sudah hampir 3 minggu aku memeluk agama Islam. Jiwaku semakin tenteram. Aku ingat lagi kes 3 minggu yang lalu sewaktu aku melafazkan 2 kalimah syahadah, kulihat bercucuran air mata kegembiraan di pipi sahabat yang sentiasa menemaniku, Nurul Iman. Dan aku juga turut merasakan ada air hangat basah, merembes keluar menyirami pipiku yang gebu. Suasana di luar masjid UMS turut suram, hujan merembas lebat menyirami bumi sebaik sahaja aku selesai mengucapkan dua kalimah syahadah, seolah-olah turut bergembira kerana seorang lagi insan telah diberi sinar hidayah oleh pengatur alam jagat ini iaitu Allah swt. Aku tidak dapat menggambarkan perasaanku saat itu. Satu perasaan yang terlalu amat sukar untukku gambarkan dengan kata-kata. Tapi yang pasti perasaan yang selama ini gelisah lenyap hilang entah ke mana digantikan dengan satu perasaan sakinah yang menebal di jiwa ini. Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi menandakan adanya mesej masuk, lamunanku mati/terhenti secara tiba-tiba.
“Assalamu’alaikum wr wbt, Aisyah ada kelapangan tak waktu pagi hari anam ni, kalau Aisyah ada kelapangan, Nurul ingat nak ajak Aisyah ke surau kolej E. Ada sedikit halaqoh di sana bersama muallaf-muallaf yang lain”, satu mesej tertera di skrin telefon bimbitku.
“Wa’alaikumussalam wr wbt. InsyaAllah Aisyah berkelapangan, jam berapa agaknya?” jawabku kembali dengan menekan punat telefonku.
“InsyaALLAH kita solat Subuh di sana, Aisyah bersedialah dalam jam 4.30 pagi. Saya datang ambil Aisyah nanti ye”.
“Baiklah, terima kasih”.
“Sama-sama”.
////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////

Rupa-rupanya halaqah yang dinyatakan oleh Nurul Iman adalah usrah yang disertai oleh para muallaf yang sememangnya adalah pelajar-pelajar UMS sendiri. Alhamdulillah dalam usrah itu aku dapat berkenalan dengan ramai saudara baru sepertiku. Baru kutahu rupa-rupanya ramai muallaf sepertiku di UMS. Di sini aku dapat berkenalan dengan ramai sahabat seperti Kamariah dan Siti Fatimah yang asalnya dari agama Hindu, Qurratul ‘Ain dan Natasya dari agama Budha dan juga Nurul Huda, Siti Jamilah, Hidayah dan Nurul Sakinah dari anutan sepertiku iaitu agama Kristian. Juga sesuatu yang mengejutkan bagiku, rupa-rupanya Nurul Iman juga merupakan muallaf seperti kami. Katanya dulu dia menganuti agama Buddha, dia memeluk Islam sewaktu berumur 15 tahun, walaupun undang-undang di Malaysia menyatakan bahawa seseorang itu diberi kebebasan beragama hanya selepas 18 tahun, tetapi dia adalah antara insan yang bernasib baik. Ibu bapanya meninggal sewaktu dia berumur 10 tahun. Selepas itu dia dan dua adiknya dibesarkan di rumah anak-anak yatim. Peluang berkongsi hidup bersama anak-anak yatim di rumah kebajikan memberi ruang yang luas baginya untuk mendalami agama Islam. Selepas kajian demi kajian, dia mengambil keputusan mengabdikan dirinya pada agama yang dipilih oleh Allah iaitu agama Islam. Dia tidak melalui proses yang sulit untuk urusan pertukaran agama walaupun dia masih di bawah umur kerana dia seorang anak yatim piatu pada waktu itu.
Nurul Iman yang selaku naqibah kami menyatakan bahawa usrah bukanlah merupakan satu aktiviti main-main atau aktiviti pengisi masa lapang sahaja. Tetapi ia adalah sunnah Rasulullah saw. Melalui usrahlah Rasulullah memantapkan iman dan kefahaman sahabat-sahabatnya ketika hebatnya kecaman oleh orang kafir Quraisy. Sewaktu Islam masih di peringkat permulaan dan menerima tentangan yang hebat, pada waktu inilah Rasulullah membuat perjumpaan sulit dengan para sahabat yang bertempat di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam, di sinilah Rasulullah saw menyampaikan ajaran Islam, membacakan ayat-ayat Al-Quran juga sebagai tempat untuk memberi tunjuk ajar dan nasihat. Namun secara khususnya aktiviti usrah sepertimana yang diamalkan pada hari ini adalah bermula apabila A-Syahid Hassan Al-Banna mengasaskan Ikhwanul Muslimin pada tahun 1927 di Mesir beberapa tahun selepas kejatuhan dinasti khilafah Islamiyyah yang terakhir di Turki. Beliau mula membina tanzimya yang tersendiri dengan matlamatnya yang begitu jauh untuk mengembalikan semula khilafah Islamiyyah sehingga beliau syahid. Asas yang dibina oleh beliau kemudiannya diteruskan oleh para pengikutnya ke seluruh dunia dan menjadi satu momentum yang menggerakkan arus kebangkitan semula Islam di seluruh pelosok dunia dengan method dan strategi yang berbeza.
Perkataan usrah berasal dari kalimah Arab yang bermakna keluarga. Penggunaan istilah ini pada asalnya sudah tentu merujuk kepada ikatan kekeluargaan yang terjadi sesama manusia samada di dalam hubungan rumahtangga, kabilah, kaum, darah keturunan, suku bangsa atau puak.
Tetapi dalam konteks harakiah, usrah bererti satu unit kekeluargaan yang diikat dengan kesatuan akidah yang jelas (wehdatul aqidah), kesatuan fikrah yang mantap (wehdatul-fikr) dan juga kesatuan kesedaran dan tindakan (wehdatul-amal) untuk sama-sama saling bantu-membantu dalam usaha memperkukuhkan Jama’ah Islam dari pelbagai sudut bagi membolehkan kerja-kerja amal jama’ie dapat dilaksanakan dengan teratur sehinggalah tercapai matlamat yang teragung iaitu tertegaknya Daulah dan Khilafah Islamiyyah. Secara ringkasnya ia merupakan sebuah ikatan yang bukan hanya terbatas sekadar hubungan kekeluargaan namun ia melampaui sempadan bangsa dan warna kulit. Ia jauh lebih kukuh dari itu kerana ia diikat di atas dasar aqidah iaitu ikatan yang diredhai oleh Pencipta langit dan bumi. Allah SWT berfirman:“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”
Lantaran itulah imam As-Syahid Hassan Al-Banna telah menggariskan 3 rukun yang utama iaitu at-ta’aruf yakni berkenal-kenalan, at-tafahum yakni bersefahaman dan at-takaful yakni saling tolong menolong. Berkenalan itu bukanlah kenalan biasa tetapi ahli usrah hendaklah berkenal-kenalan di antara satu sama lain serta berkasih sayang dengan semangat cinta kepada agama Allah. Setiap ahli hendaklah berusaha bersungguh-sungguh supaya jangan ada apa pun yang boleh mengeruhkan ukhuwwah tersebut. Ini boleh dilakukan dengan menjunjung perintah Allah SWT dan sunnah RasuluLlah SAW, bahkan kedua-duanya wajib diutamakan mengatasi perkara-perkara lain. Sebagaimana Firman Allah swt dalam surah al-Hujurat ayat ke 10 maksudnya :“Sesungguhnya setiap orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka perbaikilah hubungan sesama saudara kamu”.
Manakala rukun bersefahaman pula setiap ahli hendaklah berpegang dengan kebenaran, iaitu dengan melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Setelah memeriksa diri sendiri sama ada telah taat ataupun telah derhaka kepada Allah, hendaklah pula nasihat menasihati di antara satu sama lain. Hendaklah nasihat itu diberi dengan cara yang baik dan bijaksana. Nasihat pula hendaklah diterima dengan cara yang baik dan bijaksana. Nasihat juga hendaklah diterima dengan lapang dada. Ini semua dilakukan hasil daripada sama-sama faham dan sama-sama ber’amal. Dalam memberi nasihat hendaklah sentiasa bersedia menerima nasihat dari saudaranya serta berterima kasih atas nasihat tersebut. Pemberi nasihat janganlah pula menganggap dirinya lebih mulia bahkan hendaklah memberi nasihat dengan cara tidak melahirkan secara terang kesilapan saudaranya itu selama sebulan dan tidak menceritakan kecacatan yang telah diperhatikannya kepada naqibah. Ia hendaklah menceritakan hal itu kepada naqibah jika merasa tidak berdaya untuk memperbaikinya. Dalam keadaan apa sekalipun, jangan sesekali kita merasa tawar hati terhadap saudara yang bersalah tadi, malah hendaklah tetap memberi kasih sayang.
Dan akhir sekali rukun bersefahaman iaitu dasar memelihara nasib sesama sendiri supaya jangan ada yang terbiar atau terlantar. Dasar ini merupakan tunjang iman dan intisari ukhuwwah sejati. Oleh itu hendaklah setiap ahli sentiasa bertanya khabar, ziarah menziarahi dan berganti-ganti membuat kebajikan dengan jalan segera menolong di antara satu sama lain sedaya upaya.
Maka dengan penjelasan tadi fahamlah kita bahawa usrah bukanlah hanya sekadar majlis perbincangan ilmu atau peringatan tetapi ia adalah suatu medan yang hidup di mana ahli-ahli usrah sentiasa meningkatkan kefahaman serta menghayati Islam secara bersama-sama. Ini semua didasarkan kepada ukhuwwah Islamiyyah di mana ahli-ahli usrah saling berkasih sayang, nasihat menasihati dan bantu membantu. Tanpa ukhuwwah Islamiyyah sejati ini, usrah hanyalah menjadi medan perbincangan ilmu yang tidak membuahkan apa-apa.
Secara kesimpulannya, adalah menjadi tanggungjawab setiap ahli usrah untuk memelihara dan melaksanakan rukun-rukun usrah ini dengan sebaik mungkin. Kita mesti saling percaya-mempercayai dan menjaga kerahsiaan ahli usrah. Letakkanlah diri kita sebagai batu bata yang akan membangunkan sebuah bangunan Islam.
Aku melihat sahabat-sahabat usrah yang lain saling menganggukkan kepala masing-masing apabila Nurul Iman menyatakan tentang maksud yang tersirat di sebalik usrah. Mungkin mereka itu telah banyak kali mendengarnya tetapi bagi aku yang baru pertama kali baru mengikuti usrah agak sukar bagiku untuk memahaminya sekaligus.
Nurul Iman yang selaku naqib kami memandang padaku, kemudian menyatakan bahawa, “Aisyah tak perlu risau, ini kan kali pertama Aisyah mengikuti usrah. insyaALLAH lama kelamaan nanti Aisyah akan lebih memahami”, katanya sambil tersenyum.
Pagi itu usrah kami berlanjutan hingga ke angka 7.00 pagi. Usrah itu dimulai dengan bacaan Al-Quran secara beramai-ramai, penerangan Nurul Iman tentang usrah, perbincangan tentang persoalan aqidah dan juga isu-isu semasa. Sesungguhnya aku amat seronok sekali mengikutinya. Inilah kali pertama aku mengikuti majlis sebegitu. Sungguh seronok, ahli-ahlinya juga erat antara satu sama lain serta banyak mengambil berat antara satu sama lain. Tidak pernah lagi aku lihat ukhwah yang sebegini.
Kemudian majlis kami pada pagi itu disambung dengan sedikit riadah ringan di padang UMS. Selepas riadah kami sama-sama minum dan langsung pulang ke bilik masing-masing. Aku amat berterima kasih pada Nurul ketika dia menghantarku pulang kerana menjemputnya menyertai usrah tersebut. Aku rasa amat terharu sangat, seolah-olah aku amat dialu-alukan untuk menganuti Islam. Dan aku berazam untuk mengikutinya lagi pada minggu hadapan dan minggu-minggu yang mendatang kerana menurut Nurul, aktiviti usrah itu dibuat setiap minggu.

7. DUGAAN

Keislamanku masih lagi menjadi satu kerahsiaan. Tiada sesiapa pun yang kubocorkan tentang keislamanku melainkan diriku, Nurul dan juga sahabat-sahabat seusrahku. Aku menyatakan kepada Nurul tentang hasratku untuk menyembunyikan dulu keislamanku sehingga aku mendapat kekuatan yang penuh, lantaran itulah aku mengambil sikap masih belum menutup aurat yang sempurna. Aku masih belum memakai tudung, yang bertukar hanyalah sedikit gaya penampilanku. Jika dulu aku gemar berpakaian jeans ketat, baju T-shirt padat, atau pun paling kurang batu t-shirt lengan pendek. Tapi kini ku tukarkan kepada baju t-shirt longgar, berlengan panjang, menutup punggungku dan juga mengenakan seluar yang lebih longgar, bahkan kadang-kadang aku lebih kerap memakai baju kurung tanpa tudung. Aku amat yakin Candy, rakan sebilikku yang amat anti dengan Islam makin sangsi dengan perubahanku. Akhir-akhir ini kelihatan dia semakin galak memerhatikan pergerakanku. Akhir-akhir ini dia kerap bertanya itu ini padaku. Kenapa balik lambat, pergi ke mana hari ini dan macam-macam lagi. Untuk mengelakkan kecurigaannya dan rakan-rakan Kristianku yang lain. Aku meminta Nurul untuk membantuku. Perjumpaan kami terbatas, hanya jumpa di perpustakaan sahaja. Alhamdulillah, Nurul sememangnya seorang yang amat-amat memahami. Kini aku lebih kerap berada di perpustakaan, senang sekali. Jika aku nak solat boleh sahaja aku solat di surau perpustakaan, sememangnya di sana ada pakaian solat wanita. Nurul selalu datang membantuku untuk lebih memahami Islam, jika dia ada urusan dia akan meminta sahabat seusrah kami yang lain datang membantu. Aku amat selesa dalam keadaan begini. Aku buat begitu bukan kerana aku sangsi akan agama Islam, tidak sesekali, tetapi aku lakukan begitu kerana aku belum cukup kuat untuk berhadapan dengan yang lain.
Nurul amat menyetujui akan tindakanku. Katanya, Allah swt telah mengajar kita melalui gerak kerja Rasulullah saw. Rasulullah pada peringkat awal permulaan penyebaran Islam menjalankan aktiviti dakwahnya secara rahsia. Ini bukan kerana kerana Rasulullah saw takut. Tidak! Tapi inilah hikmahnya Allah, mengajar kita generasi seterusnya bahawa tindakan berdiam diri itu lebih baik di waktu kita belum benar-benar mampu. Ini penting untuk memastikan kesinambungan gerak kerja Islam. Dr Yusof Al-Qardawi telah menghuraikan secara panjang lebar dalam kitabnya iaitu Fiqh Aulawiya bahawa tindakan berdiam diri sewaktu belum mampu adalah baik, tetapi tindakan berdiam diri sewaktu mampu adalah tindakan terkutuk. Aisyah carilah kekuatan dulu, insyaALLAH jika dah mampu nanti laksanakanlah Islam itu secara keseluruhan kerana melaksanakan Islam secara keseluruhan itu adalah tuntutan Allah swt sebagaimana Firman NYA dalam surah Al-Baqarah ayat 208 maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam itu secara keseluruhan dan janganlah kamu ikut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu”.
Alhamdulillah setelah dua bulan aku menghijrahkan diriku, terlalu banyak ilmu yang mampu ku timba dari sahabat-sahabat usrah. Mereka banyak menceritakan kepadaku bagaimana akhirnya mereka berhijrah. Ada yang melucukan dan ada juga yang mengagumkanku. Kamariah misalnya, menemui cahaya keimanan setelah lama memusuhi Islam. Dia telah banyak memurtadkan ramai remaja Islam. Sewaktu dia beragama Hindu, dia amat-amat percaya akan agamanya, tiada sedikit pun kesangsian yang bertakhta di hatinya walaupun ada beberapa amalan ritual yang dilaksanakan. Contohnya amalan penyucian dosa yang diamalkan oleh para penganut agama Hindu iaitu amalan mencederakan badan pada sambutan hari Thaipusam. Para penganut agama Hindu percaya bahawa dengan amalan begitu barulah mereka dapat mencapai tahap Nirvana. Alhamdulillah dia akhirnya menerima sinar hidayah selepas beberapa ketika berdebat dengan Nurul Iman. Selepas itu barulah dia dapat membuka matanya. Terlalu banyak perkara-perkara yang tidak diterima akal dalam pengamalan penganut agama Hindu. Menurut Kamariah, hasil dari pembacaan dan kajiannya, dia mendapat tahu bahawa Rasulullah saw pernah disebut dalam kitab agama Hindu. Seorang profesor Hindu terkenal, Vedaprakash Upadhyaya, dalam bukunya yang menarik menyatakan bahwa deskripsi “Avatar” yang terdapat pada kitab suci agama Hindu sejalan dengan peribadi Nabi Muhammad saw.
Baru-baru ini sebuah buku yang menyingkap fakta tersebut telah diterbitkan. Buku itu menjadi topik diskusi dan perbincangan di seluruh negeri. Penulis buku itu seorang Muslim. Ia mungkin telah ditahan atau dibunuh. Boleh jadi semua salinan buku itu telah dihilangkan. Buku itu bertajuk “Kalki Avatar”. Pundit Vedaprakash Upadhyaya adalah seorang Hindu Brahmana dari Bengali. Beliau adalah seorang sarjana penyelidik di Universiti Allahabad di mana setelah bertahun-tahun melakukan kajian akhirnya beliau telah menerbitkan bukunya.
Keterangan dari Pundit Vedaprakash telah disiarkan di BICNews pada 8 Disember 1997 yang diterjemahkan oleh Mir Abdul Majeed. Sebelumnya, pernah dimuat di The Message, edisi Oktober 1997. Tidak kurang 8 pundit besar mendukung dan menyetujui bahawa fakta-fakta argumennya sebagai yang otentik. Menurut kepercayaan Hindu, dunia Hindu tengah menunggu “Pemimpin dan Pembimbing”, yang bernama “Kalki Avatar”. Akan tetapi deskripsi yang dicantumkan dalam kitab-kitab suci agama Hindu merujuk kepada Nabi Muhammad saw dari Arab. Kerana itu, umat Hindu di seluruh dunia semestinya tidak menunggu lebih lama lagi kedatangan ‘Kalki Avatar’ dan harus menerima Nabi Muhammad saw sebagai Kalki Avatar. Inilah fakta-fakta yang diuji dan didukung oleh tidak kurang dari delapan pundit terkemuka. Apa yang dikatakan penulis adalah bahwa umat Hindu di seluruh dunia yang masih menunggu kedatangan Kalki Avatar adalah satu tindakan menyerahkan diri mereka sendiri kepada penderitaan yang tak akan selesai selamanya. Padahal utusan agung tersebut telah datang dan meninggalkan dunia ini 14 abad yang silam. Pengarang buku tersebut telah mengajukan bukti-bukti kuat dari kitab Veda dan kitab suci Hindu lain untuk mendukung pernyataannya. Dalam kitab Purana misalnya, disebutkan bahwa Kalki Avatar merupakan utusan terakhir di dunia ini. Ia memberi petunjuk kepada seluruh manusia. Nabi Muhammad saw diutus bagi segenap manusia. Bukan untuk salah satu golongan. Menurut prediksi agama Hindu, kelahiran Kalki Avatar akan terjadi di Semenanjung (yang menurut agama Hindu kawasan Arab). Ini ramalan yang sesuai dengan faktanya di mana Islam lahir di kawasan Arab.
Masih dalam kitab-kitab Hindu juga, nama ayah dan ibu Kalki Avatar masing-masing adalah Vishnubhagath dan Sumaani. Jika kita memerhatikan maksud kedua nama tersebut, kita akan mendapatkan kesimpulan yang menarik. Dalam kosa kata Hindu, Vishnu artinya Allah dan Bhagath artinya hamba. Kalau digabung bererti hamba Allah yang dalam bahasa Arab bererti Abdullah. Ia adalah ayah Nabi saw.
Sumaani artinya kedamaian atau ketenteraman. Dalam bahasa Arab sepadan dengan kata Aminah (‘kedamaian’) yang tiada lain adalah nama ibunda Nabi saw. Selanjutnya, dinyatakan dalam kitab Veda, kelahiran Kalki Avatar akan terjadi di tengah keluarga bangsawan. Jelas ini merujuk kepada suku Quraisy di mana Nabi saw dilahirkan. Dalam kitab yang sama, Tuhan akan mengajar Kalki Avatar melalui utusan (malaikat)-Nya di dalam gua. Ini sesuai dengan riwayat kehidupan Nabi saw. Allah mengajar Nabi Muhammad saw melalui malaikat Jibril, dalam suatu gua yang disebut Gua Hira. Tuhan pun menyiapkan Kalki Avatar dengan bantuan-Nya. Ini secara jelas terbukti dalam Perang Uhud. Dengan ini terbukti bahawa Rasulullah saw telah disebut secara nyata di dalam kitab agama Hindu.
Selain itu aku juga mendapat tahu daripada Qurratul ‘Ain bahawa Rasulullah saw juga disebut di dalam agama Budha. Qurratul ‘Ain seorang gadis yang putih bersih rupanya, yang bagiku amat cocok sekali dengan namanya Qurratul ‘Ain yag membawa maksud penyejuk mata. Dia berasal dari keluarga Cina. Tetapi apa yang menarik bagiku adalah bentuk hidayah yang Allah kurniakan untuknya. Menurut Nurul, dia juga turut cemburu dengan bentuk kurniaan hidayah yang Qurratul ‘Ain terima. Katanya ketika Qurratul ‘Ain masih keliru untuk memilih Islam atau tidak. Dia banyak bermunajat kepada Tuhan dengan berpuasa. Pada waktu itu juga adalah bertepatan dengan bulan Ramadhan. Pada malam 27 Ramadhan, dia telah diperlihatkan Allah dengan keagungan yang Maha hebat. Pada malam itu dia terjaga pada lewat malam, pada waktu itu juga dia telah melihat bahawa pokok-pokok di sekeliling rumahnya semuanya berada dalam keadaan sujud kepada Allah dengan mengarah ke arah kiblat. Selepas itulah dia tanpa ragu-ragu lagi mengambil keputusan muktamad untuk memeluk agama Islam. Subhanallah satu nikmat yang jarang-jarang diperlihatkan pada manusia. Hanya yang benar-benar terpilih sahaja yang mampu mengalami saat sedemikian.
Menurut Qurratul ‘Ain, dalam tradisi Buddha, pemimpinnya sendiri Sidharta Gautama telah meramalkan kedatangan seorang manusia yang diberi wahyu. Dalam Doktrin Budha (The Gospel of Buddha) oleh Caras tercantum bahwa Budha agung yang akan datang ke dunia ini dikenal sebagai “Maitreya”. Cakkavatti-Sihanada Suttana memberinya nama “Meteyya”. Kedua kata ini bermakna “pemberi rahmat”. Dengan merujuk kepada sejarah kehidupan Muhammad saw, ketara sekali beliau adalah orang sangat penyayang dan al-Quran juga menyebut-nyebut fakta ini.
Ada sejumlah kesamaan lebih jauh, seperti yang terbaca dalam kitab suci kaum Budha: “Para pengikut Maitreya berjumlah ribuan orang, sementara jumlah pengikutku ratusan orang.” Faktanya, pengikut Nabi Muhammad saw berjumlah ribuan orang, lihat sahaja dewasa ini penganut agama Islam sudah menjangkau jutaan orang.
Selain itu dalam Doktrin Budha, seorang Budha yang tercerahkan itu dilukiskan sebagai memiliki kulit yang amat terang dan bahwa seorang Budha memperoleh “pandangan yang luhur di malam hari”. Dalam kenyataan sejarah, Nabi saw acapkali melakukan shalat malam ataupun solat sunat tahajjud sebagai pantulan cintanya yang mendalam kepada Sang Pencipta. Selama hayatnya, Nabi saw tidak pernah meninggalkan shalat malam. Hasilnya, baginda saw dianugerahkan dengan pandangan yang tajam untuk membina peradaban baru manusia yakni peradaban Islam.
Dalam Si-Yu-Ki, juga tertulis bahwa “…tak satu kata pun yang mampu menguraikan kemuliaan peribadi Maitreya.” Jika kita merujuk kepada sejarah Islam secara terperinci. Kita dapat mengesahkan bahawa nabi Muhammad saw adalah seorang yang sangat rupawan dan menarik baik dari sudut lahiriah mahupun batiniah. Ketegasan dan kelembutan keperibadian baginda memanifestasikan sifat-sifat Allah. Inilah yang menyulitkan pemaparan kemuliaan keperibadian Nabi saw. Dalam kitab dan jilid yang sama, tercantum “…suara indah dari Bodhisatwa (Maitreya) begitu lembut, merdu, sekaligus santun. Mereka yang mendengar tidak pernah merasa bosan dan puas.” Nabi saw yang lahir dari kalangan Arab tentunya amat memahami akan bahasa Arab, lihat sahaja sejarah bagaimana Rasulullah dibesarkan di sebuah perkampungan badwi yang begitu hebat bahasa arabnya. Kita juga mendapati bahawa Rasulullah saw adalah seorang yang dapat menyebut huruf ‘dhad’ dengan baik. Dan, bahasa Arab yang digunakan al-Quran adalah luar biasa indahnya. Lantaran itulah, Kitab suci Al-Quran Suci sendiri telah disahkan sebagai suatu karya kesusasteraan khusus dengan estetika tertinggi yang mampu memberikan manfaat kepada kawan dan lawan. Kelembutan Nabi saw dan keindahan bahasa al-Quran menjadikan setiap perkataan Nabi saw tidak pernah menimbulkan rasa bosan dan letih untuk didengari.
Seorang Budha mestilah seorang manusia bukannya dewa. Sang Budha tersebut mesti memiliki lima kurnia khusus, yakni kurnia harta kekayaan, kurnia anak, kurnia isteri, kurnia kekuasaan yakni kepemimpinan, dan kurnia kehidupan dan pengikut. Juga dinyatakan lagi bahawa Budha tersebut tidak punya guru, iaitu tidak pernah mengalami sistem pendidikan yang formal. Gautama juga menekankan bahwa Budha itu seorang yang bersahaja yang mengatakan keselamatan itu hanya tergantung pada amal perbuatan individu.
Ciri-ciri di atas jelas sekali berkaitan dengan kehidupan Nabi Muhammad saw. Kita saksikan bahawa Nabi Muhammad saw seorang yang memiliki lima hal tadi. Nabi saw memiliki keturunan yang banyak sampai sekarang. Di antaranya ada yang menjadi para pemimpin (imam) bagi kaum Muslim. Akhirnya, Nabi saw sendiri tidak pernah belajar sama sekali dari seorang guru pun. Ilmu yang beliau dapatkan murni dari Allah sebagai buah perenungannya akan kenyataan semesta ditambah kesucian jiwanya.
Subhanallah, begitu hebat kurniaan Mu Tuhan. Mengapakah setelah begitu banyak fakta yang menyatakan tentang utusan-Mu, tentang insan terpilih Nabi Muhammad saw, tetapi masih ramai lagi manusia di dunia ini yang masih menutup mata dan telinga mereka dari mengakui tentang kebenaran ini. Mungkin inilah percaturan Allah, hanya yang terpilih sahaja diberi ruang untuk menghayati nikmat hidayah-Mu. Alhamdulillah, syukur yang tak terhingga ku panjatkan pada-Mu Allah kerana memilih diriku yang serba kekurangan ini untuk berada dalam cahaya kebenaran. Cahaya yang takkan malap bahkan akan tetap bersinar bukan sahaja di dunia malahan jua tetap utuh bersinar di akhirat. Tanpa ku sedari air mataku jatuh berguguran, airmata kegembiraan yang tidak mampu ku ungkapkan dengan kata-kata.
Aku juga sempat membaca buku ‘Panduan Berdakwah Bagi Remaja Muslim’ tulisan Dr Abdul Karim Zaidan yang menyatakan bahawa berkemungkinan Gautama Budha dan juga Brahma adalah antara nabi-nabi yang telah diutuskan oleh Allah swt. Menurut professor Hamka atau nama asalnya Allahyarham Hj. Abdul Malik Karim Amirullah seorang ulama besar Indonesia dalam kitab tafsir al-Azharnya terdapat seramai 124,000 nabi-nabi yang kebanyakannya masih belum dikenali.
Antara nabi-nabi lain yang jarang didengari adalah nabi Amriyak, Nabi Yermia, Nabi Daniel, Nabi Ezekiel (Hizkil bin Buzi), Nabi Khaidir dan juga ramai lagi. Semua utusan Allah ini memberikan panduan dan tunjuk ajar setiap kali manusia hilang pertimbangan dan hidup bertentangan dengan syariat peraturan Allah.
////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////

Langit tidak selalunya cerah. Matahari tidak selalunya bersinar, kadang-kadang awan gelap datang menutupi keceriaan alam. Begitulah lumrah alam, suatu ketetapan yang telah diatur oleh Allah, bukan tandanya Allah itu kejam tapi ia adalah suatu kesempurnaan ciptaanNYA yang tak terhingga. Hinggakan setiap kejadian alam menjadi tanda keagungan Tuhan, menjadi tanda keinsafan bagi mereka yang beriman.
Seperti yang telah ku jangka, maklumat tentang pengislamanku yang ku simpan rapat kemas akhirnya akan terbocor juga. Entah dendam kesumat apa yang menyebabkan Candy menyiasatku secara diam-diam. Tanpa ku sedari sejak dua bulan yang lalu dia kerap mengikut gerak geriku. Lantas maklumat tentang keislamanku dimaklumkannya kepada keluargaku. Sememangnya Candy mengetahui benar tentang keluargaku. Sudah 2 tahun aku tinggal sebilik dengannya, segala maklumat tentang keluargaku telah aku beritahu padanya. Aku adalah anak sulung daripada 4 orang adik beradik, semuanya perempuan. Ibuku berbangsa dusun manakala bapaku pula berbangsa kadazan. Sebab itulah mukaku hampir seiras dengan mereka yang berbangsa cina, cuma mataku agak bulat sedikit. Menurut kajian, kaum Kadazandusun adalah masyarakat pribumi asal di Sabah yang berpindah dari selatan China beberapa kurun yang lampau. Keluargaku bukanlah orang yang kuat sangat berpegang dengan agama Kristian. Tetapi datukku sebelah bapaku pernah menghantar adik bapaku sebagai tentera kristus, hampir-hampir jadi paderi dia, cuma ketika dia ingin mengambil peperiksaan kelayakan sebagai paderi tiba-tiba dia diserang demam panas yang membawa kepada kematian. Walaupun begitu bapaku amat berkeras jika ada sesiapa yang mahu memeluk Islam, pernah pakcikku diacukan senapang ke kepala oleh bapaku lantaran dia menyatakan tentang keislamannya yang mana seterusnya dia membawa diri ke semenanjung.
Aku mendapat tahu bahawa bapaku sedang mencariku, adikku Nelly yang masih di tingkatan 5 memberitahu tentang keadaan itu. Katanya seorang kawanku yang bernama Candy ada bertamu ke rumah pada petang tadi lalu menyatakan tentang pengislamanku. Dia turut membawa beberapa bukti termasuk gambar-gambar yang dirakam menggunakan telefon bimbitnya.
Astagfirullah, Ya Allah..berilah aku kekuatan untuk menghadapi saat dan detik ini. Tiada sesiapa lagi yang mampu membantuku melainkan Engkau ya Allah. Wahai Allah yang selalu membolak-balikkan hati, kekalkanlah hati ini di atas agama-Mu ini serta ketaatan kepada Mu.
Aku terus menghubungi Nurul pada waktu itu juga. Alhamdulillah Nurul sudi meluangkan masanya untuk menemuiku. Malam itu kami berbincang panjang tentang keadaanku. Aku meluahkan keresahan ku kepadanya, tentang perasaan takutku dan segala-galanya yang mencengkam hatiku saat ini.
////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////

Ya Allah berikanlah ketenangan padaku. Alhamdulillah, kesyukuran yang tidak terhingga aku panjatkan pada-Mu. Terima kasih Allah kerana memilih aku untuk menerima ujianmu. Firman Allah swt dalam surah Al-Baqarah ayat ke 214 maksudnya:
“Apakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat”.
Benar, sungguh benar sekali kenyataan Allah. Lihat sahaja sirah Rasulullah saw dan juga sirah para rasul yang terdahulu. Mereka semua adalah habibullah, tetapi merekalah antara manusia yang paling hebat diberi ujian. Sesungguhnya hanya yang dicintai-Nya sahaja yang akan merasa nikmat dalam ujian-Nya, merasa resah jika hidup dilimpah nikmat. Bimbang-bimbang Allah telah melupai mereka.
Biarlah… biarlah keluargaku membuangku. Nurul pernah menceritakan kepadaku kisah Muaz bin Jabal, beliau adalah antara sahabat Rasulullah. Rasulullah menangis kerana pemergiannya. Muaz yang hidup dilimpah kemewahan rela membuang segalanya kerana iman, takkan aku tidak mampu untuk mencontohi sepertinya. InsyaAllah biar rebah jangan berubah, biar terbuang tetap berjuang, hanya untuk-Mu Allah ku abdikan diri ini.
Kini aku terhibur walaupun bersendiri. Biarlah Candy dan sahabat-sahabat lamaku memboikotku, biarlah mereka memulauku. Tetapi ingatlah teman, diri kalian tetap menjadi ingatan. Setiap kenangan bersama kalian terus/tetap aku sematkan dalam memoir perjalanan diriku. InsyaALLAH aku mengimpikan untuk kita semua bersama mengecapi nikmat bahagia, nikmat bersama Islam, nikmat mujahadah fisabilillah.
Teringat kembali waktu beliauku datang mencariku. Pada waktu itu aku amat takut sekali. Kalau boleh hingga ke lubang cacing ingin ku sembunyikan diri ini. Memang pada waktu itu beliauku menyinga. Beliauku telah mengugutku bahawa dia tidak akan lagi membekalkan biaya bagiku. Dia juga bersumpah bahawa dia sesekali tidak akan mengaku aku sebagai anaknya sehingga aku kembali ke anutan asalku.
Tapi alhamdulillah, Nurul begitu berjasa padaku. Katanya tentang biayaku biarlah dia sama-sama membantu. Sewaktu ayahnya meninggal dulu, ayahnya ada meninggalkan sedikit harta buatnya. InsyaAllah dengan sedikit kewangan yang ada mampu untuk digunakan bersama.
Sewaktu aku rasa terbuang. Qurratul menyatakan padaku, jangan resah. Itu tandanya Allah sayang. Allah tunjukkan rasa sayangnya melalui ujian yang dibekalkan kepada hambanya. Allah mahu uji adakah kita lulus dalam ujian, adakah kita benar-benar meletakkan ketulusan dalam mencintai-Nya. Sepertimana berlian, hanya berlian bermutu tinggi yang diuji dengan sebegitu rupa. Ia akan dipanaskan, digeserkan. Semakin kuat ketahanannya, maka semakin mahallah harganya. Jika hanya kaca, tiada siapapun yang mahu mengujinya. Cukuplah hanya dibuang di jalanan. Dibiarkan tanpa menjalani sebarang ujian ketulenan. Begitu juga dengan iman, hanya iman yang tulen yang telah lulus semua peringkat ujian. Maka barulah iman itu yang diiktiraf oleh Tuhan. Iman yang mampu diberi ganjaran jannatul Firdaus oleh Allah.



8. DETIK PERPISAHAN

Dalam mengenang kisah hidup silam kusedar dari kesilapan lalu. Tuhan beratnya dosa-dosaku, masihkah ada ampunan buatku. Tuhan dalam mengenang hidup ini, banyaknya ujian datang menguji. Ada yang dapat ku gagahi dan ada yang dapat ku hindari.
Itulah antara bait-bait lagu Epilog Silam nyanyian Haikal. Sekarang ini aku merasakan perubahan yang amat mendalam dalam diriku. Pada awal-awal keislamanku dulu aku cuba menjinakkan diriku dengan lagu-lagu nasyid. Rakan-rakan muslimah yang lain banyak membantuku dengan memberikan aku klip-klip video dan MP3 nasyid. Tapi waktu tu, kebanyakan lagu-lagu dalam simpanan ku banyak menyentuh tentang hubungan cinta sesama insan. Tapi selepas itu Nurul menegurku. Katanya seni itu adalah kurniaan Ilahi, sememangnya fitrah manusia inginkan seni tapi janganlah jadikan fitrah itu sebagai fitnah. Aku bertanya kembali padanya kenapa dia berkata demikian. Kata Nurul lagi bahawa jika manusia yang dipuja, cinta sesama manusia yang diagungkan apa gunanya nasyid, ia samalah jua macam lagu-lagu yang lain. Sama seperti lagu balada, rock atau apa sahaja cuma rentaknya yang berbeza dan diselitkan sedikit tampalan Islam. Nurul turut meluahkan rasa kecewanya dengan industri nasyid tanahair, lagu yang berunsur ketuhanan, pengharapan cinta Allah, keinsafan, taubat atau penyesalan jarang yang diperdendangkan. Yang banyak hanyalah cinta sesama insan. Industri nasyid tanahair bukan lagi menjadi industri dakwah seperti era kumpulan Nadamurni atau kumpulan Raihan tetapi industri perdagangan dengan wujudnya banyak kumpulan nasyid remaja yang hanya melebihkan populariti dan nama.
Pada peringkat awal, aku sedikit tidak bersetuju dengan pandangan Nurul tetapi apabila semakin aku halusi semakin aku fahami. Jika aku mendengar lagu-lagu nasyid yang menceritakan tentang hubungan cinta sesama insan, aku merasakan hatiku sedikitpun tidak tersentuh untuk mengingati Allah. Astagfirullah, rupa-rupanya syaitan telah mencucukkan jarumnya dalam perkara kecil sebegini. Aku yakin ramai yang tidak menyedari hakikat ini, aku pun hanya tersedar setelah ditegur oleh Nurul. Aku ingat lagi Firman ALLAH swt dalam awalan surah Al-Mukminun bahawa antara ciri orang-orang yang berjaya adalah mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.
Subhanallah, begitu agungnya diri-Mu Allah. Menciptakan alam yang penuh keindahan. Setiap makhluk ciptaan-Mu semuanya berzikir kepada-Mu melainkan manusia dan jin. Ya Allah masukkanlah aku ke dalam golongan mereka yang mendapat hasanah di dunia dan juga akhirat. Lantaran itulah kini aku menyibukkan diriku hanya ke arah yang membawa manfaat kepadaku. Lagu-lagu nasyid yang aku dengar pun adalah lagu-lagu yang telah ku tapis. Kini lagu-lagu yang menjadi koleksiku adalah lagu-lagu yang menyentuh tentang ketuhanan, rasulullah, para sahabat, pengharapan cinta Allah, keinsafan, taubat dan penyesalan serta sedikit lagu-lagu nasyid perjuangan. Tetapi sebenarnya aku lebih suka menyibukkan diriku dengan membaca buku-buku agama, mendatangi kuliah-kuliah agama, membaca Al-Quran dan juga mendengar vcd-vcd atau kaset-kaset ceramah.
Tetapi walau apapun akademik aku tidak lupakan. Kerana Nurul pernah mengingatkanku bahawa Rasulullah saw pernah mengingatkan bahawa Allah lebih menyukai orang mukmin yang kuat daripada orang mukmin yang lemah. Lantaran itulah aku ingin hebat dalam bidang akademik. Melalui ijazah perguruan sains yang akanku kutip di UMS nanti, akan aku gunakan sebagai wadah dalam aku mengembangkan agama ALLAH. Ulama Islam, as-syeikh Mustafa Masyur pernah mengingatkan bahawa, barangsiapa yang mengucapkan kalimah Lailahaillallah (tiada Tuhan melainkan Allah) maka dia adalah seorang pendakwah.
////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////

“Assalamu’alaikum!”
“Wa’alaikumussalam wr wbt, eh kak Nurul. Masuklah!”, jawabku. Aku pun sudah lupa bila masanya aku mula memanggil Nurul dengan panggilan akak. Sememangnya Nurul hampir sebaya denganku. Cuma bulan sahaja yang membezakan kami. Aku masuk lebih lewat setahun darinya kerana aku memasuki UMS melalui STPM manakala dia pula memasuki UMS dengan menggunakan kelayakan matrikulasi. Dia mengambil jurusan sains bidang fizik elektronik manakala aku pula dalam jurusan pendidikan dalam bidang pendidikan dengan sains, major fizik minor matematik.
“Aisyah mengelamun apa tadi? Kali ketiga akak bagi salam baru Aisyah jawab. Dah tu pintu bilik pun tak tutup”,
“Eh ye ke… maaflah, Aisyah tengah menghayati lagu Epilog Silam ni. Kenapa akak tak masuk aje. Pintu kan tak tutup, akak pun nampak Aisyah kat kerusi ni kan?” kataku menyesal kerana tidak perasan tentang kehadiran Nurul ke bilikku.
“Ha…. Ni mesti Aisyah dah lupakan?”
“Lupa apa kak?” kataku hairan sambil mengerutkan dahi.
“Kan kita dah bicarakan dalam usrah, tentang adab-adab dalam Islam. Setiap muslim hendaklah beri salam sebelum masuk rumah walaupun rumah sendiri. Kemudian apabila kita berkunjung ke mana-mana rumah, kita hendaklah bagi salam. Kita hanya masuk apabila diberi izin. Betul kan?”, kata Nurul memberikan penjelasan. Aku hanya tersenyum mengiyakan kata-katanya.
“Ini! Akak ada bawakan Kima dan Kahanga. Jom kita makan bersama,” katanya lagi.
“Eh! Akak dapat kat mana makanan ni?” kataku sambil membelek-belek plastik yang dibawa oleh Nurul.
“Tadi, adik angkat akak dari Sempoerna datang ke bandar KK, katanya ada kursus. Sambil tu la dia bawakan ole-ole dari sana,” kata Nurul memberi penjelasan.
“Oh macam tu. Bolehlah kita makan dengan Tuhau dan Payau. Tadi Qurratul ada berikan sedikit daging payau masak kicap”. Kataku bersetuju dengan cadangan Nurul.
“Apa kata kalau kita panggilkan yang lain, kita panggilkan sahabat-sahabat usrah yang lain” kataku memberi cadangan.
“Erm, elok juga kalau macam tu. Akak pegi beli nasi kat kafe, Aisyah pula contact yang lain. Boleh kan?”.
“InsyaALLAH”.
////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////

“Alhamdulillah! Syukur kepada Allah kerana memberikan kita sedikit rezeki pada hari ini”, kata Nurul selepas sama-sama kami membaca doa selepas makan tadi.
“Erm, sebenarnya ada apa Aisyah dan Nurul ajak kami ke sini? Takkan datang untuk makan je kot”, kata Qurratul mencelah.
“Entah!”, kataku sambil menjeling ke arah Nurul.
“Ndak ada apa-apa, cuma akak nak maklumkan bahawa usrah pada hari anam ni kita batalkan ye?”
“Kenapa kak”, serentak aku dan ahli usrah yang lain menjawab. Terkejut!
“Minggu depan kan dah exam, lagipun semester ini adalah semester akhir akak di sini. So, akak ingat hari anam ni nak ajak semua pergi rehlah kat Tanjung Aru”.
“Best jugak tu! Lagipun dah lama saya tak picnic”. Kamariah mencelah dengan senyum lebar terpamer di wajahnya.
“Ye lah kan…. Kak Nurul, Kamariah dan Qurratul akan tamat semester ni. Tinggallah Tasya, Huda, Jamilah, Hidayah dan Sakinah aje kat sini nanti”. Kata Sakinah dengan muka sedihnya.
“Siapa pula yang akan jadi naqibah kami nanti?”, kata Sakinah lagi.
“InsyaAllah nanti kawan akak yang akan gantikan akak nanti. Kamu masih ingat lagi kan sama Zaleha. Dia ada datang dalam usrah kita sebulan yang lalu. InsyaAllah dia akan jadi naqibah antum nanti. Dan Aisyah pula akak lantik sebagai timbalan naqibah. Boleh kan?”.
“Subhanallah berat amanah tu kak!” kataku cuba mengelak.
“InsyaAllah akak yakin Aisyah mampu laksanakannya”.
“Tapi kak!”
“InsyaAllah Aisyah boleh”, kata Qurratul menyampuk. Sebelum ini dialah yang memegang amanah sebagai timbalan naqibah kami.
“Erm.. kami semua setuju”, kata Sakinah bersama anggukan sahabat-sahabat usrah yang lain. Tanda persetujuan mereka dengan cadangan Nurul Iman.
Selepas itu perbincangan kami berlanjutan tentang majlis rehlah kami nanti. Turut kami tubuhkan jawatankuasa yang akan menguruskan perjalanan rehlah nanti. Antara jawatankuasa yang dilantik adalah ketua bagi bahagian makanan, pengangkutan, disiplin dan ibadah.
Walaupun semua gembira dengan aktiviti rehlah nanti, tapi hatiku terasa makin sunyi. Sedar tak sedar sudah hampir setahun setengah semenjak aku mengecapi hidayah Allah dan sepanjang detik itulah Nurul Iman banyak membantu aku dalam melayari bahtera kehidupan ini. Dan tidak lama lagi, aku akan berpisah dengan tiang penyokong aku berdiri. Ya Allah… gagahkah aku untuk tegak berdiri sendiri selepas ini.



8. GETARAN CINTA

“Assalamu’alaikumwarahmatullahiwabarakatuh, sorang je”
“Wa’alaikumussalamwarahmatullahiwabarakatuh, erm sorang je”, jawabku ringkas.
“Boleh saya duduk di sini?”, kata Zaidi kembali.
“Maaf, saya rasa tidak sesuai untuk kita duduk satu meja. Walaupun kita sama-sama menelaah kat sini. Tapi saya bimbang ia akan menjadi fitnah!”, kataku tegas.
“Erm, betul juga tu. Ia akan menjadi fitnah bukan sahaja kepada kita tapi yang lebih teruknya kepada Islam.”, kata Zaidi bersetuju dengan penegasanku.
“Alhamdulillah kalau saudara faham”.
“Oklah, saya minta diri dulu. Assalamu’alaikum warahmatullahiwabarakatuh”. Kata Zaidi menambah sambil berlalu meninggalkan aku seorang diri.
“Wa’alaikumussalam warahmatullahiwabarakatuh”, walaupun aku sedar Zaidi tidak mendengar jawapanku tetapi tetap ku jawab salamnya. Bukankah wajib bagi seseorang muslim menjawab salam seorang muslim yang lain selagi mana ia tidak menimbulkan fitnah?
Astagfirullah… kenapa perkara petang tadi masih lagi berlegar-legar di ruangan mindaku. Begitu sukar untuk aku melupakan detik pertemuan antara aku dengan Zaidi di perpustakaan siang tadi.
Ya Allah, berikanlah aku kekuatan untuk melawan gejolak perasaanku. Sememangnya aku juga ada menaruh sedikit perasaanku kepadanya. Ye lah.. siapa yang bodoh yang tidak ada perasaan padanya. Sudahlah handsome, alim pulak tu. Sepanjang pengamatanku, dia begitu hebat dalam berbicara, apatah lagi dalam menyampaikan kuliah-kuliah agama. Boleh dikatakan hampir setiap minggu, dia antara penceramah tetap dalam menyampaikan kuliah maghrib di masjid UMS.
Menurut beberapa maklumat yang aku dapati, dia antara naqib bagi usrah muslimin UMS. Dia seorang yang tawadhuk. Jarang sekali aku melihat dia bergelak ketawa, kalau ada perkara yang amat melucukan pun, dia hanya tersenyum sahaja. Menurut Sakinah, sahabat usrahku. Adiknya Amirul adalah anggota usrah Zaidi. Amirul selalu menceritakan tentang keelokan akhlak Zaidi. Dia sentiasa menghabiskan masanya dengan perkara-perkara yang berfaedah. Dan yang paling menarik tentangnya, kitab suci Al-Quran tidak pernah terlepas dari genggamannya. Ya Allah kurniakanlah aku seorang suami sepertinya yang mampu membimbingku dalam menggapai redha, kasih dan cinta-Mu.

////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////

Bismillah hirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum wr wbt
Buat ukhti Aisyah yang dihormati

Maaf kiranya coretan ini bisa mengganggu ketenteraman hidup saudari. Maaf… saya sudah tidak bisa menanggung gelojak perasaan ini.
Untuk pengetahuan saudari, sebenarnya sudah lama saya memendam perasaan saya ini. Entahlah, semenjak saya melihat saudari dengan jubah yang menutup rapat tubuh saudari hati saya selalu gundah. Mungkin kerana hati saya telah terpaut pada kemurnian akhlak dan peribadi saudari.
Rasulullah saw telah bersabda:
“Seseorang wanita dikahwini kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana kecantikannya, kerana keturunannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah wanita yang taat beragama kerana dia akan membimbing tanganmu”.
Juga Rasulullah saw telah bersabda maksudnya:
“Janganlah kamu kahwini perempuan kerana kecantikannya. Sebab, mungkin sahaja kecantikannya itu akan membawa kehancuran. Dan jangan pula engkau kahwini mereka kerana hartanya. Mungkin sahaja dengan hartanya itu membuat dia menjadi derhaka. Akan tetapi kahwinilah mereka semata-mata kerana agamanya. Sesungguhnya mengahwini yang cacat lagi hitam namun agamanya kuat, itu lebih utama” .
Saya tahu bahawa percintaan semborono adalah haram. Saya sesekali tidak mahu melakukan perkara yang membawa kepada kemurkaan Allah.
Sebenarnya warkah yang saya utuskan adalah untuk melamar saudari menjadi teman hidup saya. Saya bukan bermaksud untuk menjadi pasangan kekasih macam kefahaman muda-mudi hari ini. Saya cuma ingin mengetahui setakat mana perasaan hati saudari kepada saya.
InsyaAllah jika ada jodoh, selepas tamat pengajian nanti saya akan menghantar rombongan meminang untuk meminang saudari.
Saya tidak memerlukan jawapan saudari dengan kadar segera. Cukuplah sekadar saya mampu menyampaikan hasrat hati saya ini.
Wassalam

Salam ukhwah fillah;
Zaidi Zinuddin
(Muhammad Zaidi Zainuddin)
////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////

Satu surat yang bertandang baru-baru ini cukup mengganggu ketenteraman diriku. Ya Allah berikanlah aku jalan yang terbaik bagi menghadapi saat ini.
Surat itu aku terima melalui Sakinah. Menurut Sakinah, surat itu adalah amanah yang diberikan oleh Zaidi melalui kiriman adiknya Amirul.
Ya Allah, kenapa perkara ini pula yang datang bertandang mengganggu diriku.



9. PELANGI CINTA

“Ya Allah, Tuhanku! Anugerahilah aku mencintai Engkau, mencintai orang yang mencintai Engkau dan mencintai apa yang mendekatkan aku kepada Engkau kepada mencintai Engkau! Jadikanlah kecintaan kepada Engkau itu yang lebih aku cintai dari air dingin! " Satu doa dengan penuh khusyuk dan kudus ku panjatkan kepada Mu Allah. Moga dengan limpah kurniaMu, Engkau menganugerahkan kasih ini hanya kepada yang hak, yang sememangnya layak dicintai hanyalah Engkau, Rasul-rasulMu dan juga hamba-hambaMU yang soleh. Kerana aku teramat sekali ingin menyahut seruan baginda Rasulullah saw, sabda Rasulullah saw: “Manusia itu bersama orang yang dicintainya[”. Aku ingin di Syurga kelak diletakkan bersama-samamu ya Rasulullah, bersama dengan orang-orang soleh yang lain. Bukankah Anas ra pernah berkata bahawa “Tidaklah aku melihat kaum muslimin yang bergembira dengan sesuatu sesudah Islam, sebagaimana gembiranya mereka dengan hadith mu ini ya Rasulullah “.
Ya Allah, Alhamdulillah. Setelah munajat yang ku aturkan padaMu melalui ibadat Qiamullail dan turut kusertakan dengan istikharah ku padaMu. Aku yakin kini dengan keputusanMu. Aku telah membulatkan tekadku untuk menjawab utusan surat dari akhi Zaidi sebelum ini. Aku teringat kembali pesanan ukhi Nurul dalam usrah setahun yang lalu apabila Kamariah pernah bertanya kepadanya bagaimanakah untuk melaksanakan solat ishtikharah sebab ada yang menyatakan bahawa kadang-kadang walaupun kita buat solat ishtikharah tetapi kita masih belum temui jawapannya. Kata Nurul, solat ishtikharah kita kena buat ikut teknik dan cara yang betul, bukan dengan semberono sahaja. Pertama-tama sekali kita hendaklah kosongkan segala minda dan hati kita dari perkara-perkara yang lain. Kemudian selepas itu kita solat taubat dulu minta Allah ampunkan segala dosa-dosa kita. Selepas itu kita solat hajat minta Allah perkenankan hajat kita. Maka selepas itu barulah dibuat solat ishtikharah, waktu ini kita serahkan bulat-bulat keputusannya kepada Allah. Apa-apa keputusan Allah kita terima walaupun berlainan dari nafsu kita kerana hanya Allah tahu mana yang baik dan mana yang buruk buat kita. Bukankah Allah swt pernah berfirman mengingatkan kepada kita bahawa kadang-kadang kamu menyukai sesuatu tetapi sebenarnya ia tidak baik untuk kamu dan kadang –kadang kamu membenci sesuatu tetapi sebenarnya ia baik untuk diri kamu.
////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////



Bismillah hirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum wr wbt
Buat akhi Zaidi yang disanjungi

Sembah takzim yang tidak terhingga ku tujukan buatmu yang sememangnya amat ku kagumi selama ini. Terima kasih kerana dirimu sudi menyunting diri yang serba kekurangan ini untuk menjadi ratu di taman kasihmu. Sesungguhnya untaian jambangan indah yang kau persembahkan sebelum ini sebagai bingkisan kiasan tanda cintamu sememangnya sentiasa menjadi igauan mimpi-mimpiku.
Tetapi segunung kemaafan kutujukan buatmu kerana aku merasakan diri ini masih belum mampu untuk menerima persembahanmu. Bukan kerana dirimu tidak layak, jauh sekali kerana sememangnya sebelum ini aku jua turut sama sepertimu. Merindu dan mengharap agar dikau sudi menjadi raja di sangkar cintaku. Tetapi aku rasa masanya belum tiba.
Selepas aku menerima lamaran untuk menjadi temanmu, aku cuba membelek sirah Rasulullah saw dan juga sirah Rasul-rasul yang lain. Tetapi ternyata aku hampa. Aku langsung tidak menemui sebarang kisah Rasul walaupun satu kisah yang membenarkan percintaan sebelum perkahwinan. Mungkin ada yang menggunakan hujah bagaimana Nabi Ya’qub as yang sanggup menunggu selama berpuluh tahun kerana cintakan adik kepada puteri Laban, Rahil iaitu adik kepada Laiya. Tetapi apa yang ku perhatikan ia langsung tidak menggambarkan bahawa mereka saling bercanda mesra, saling memadu kasih atau saling memendam rasa. Nabi Yaaqub as sanggup menunggu dengan penuh sabar agar impian percintaannya tercapai. Apabila telah tiba masanya barulah mereka diijabkabulkan dan menjadi pasangan kekasih bahagia.
Aku bimbang kiranya dengan percintaan ini kita semakin jauh dari perhatian Ilahi. Bukankah Allah swt telah menggambarkan dalam surah An-Nur ayat ke 26 yang mafhumnya bermaksud:
“Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)…..”
Juga Allah swt telah mengingatkan kepada hamba-hambanya supaya menghindarkan diri dari perkara-perkara yang membawa ke arah penzinaan sebagainya mafhumnya janganlah kamu menghampiri zina.
Aku tidak salahkan dirimu kerana melamar diri ini untuk menjadi pasangan kekasihmu. Tetapi alangkah bahagia jika lamaran itu adalah untuk menjadi pasangan hidupmu yang sah, menjadi isteri solehah pendampingmu dalam berjuang. Aku selama inipun sebenarnya turut keliru dengan istilah ‘couple islami’. Maaf, sekadar kajianku tidak ada walau satupun fakta yang ada bagi membuktikan kesahihan istilah itu. Rasulullah saw pernah mengingatkan dalam khutbah baginda yang terakhir bahawa:
“Berhati-hatilah kamu dalam perkara yang kecil kerana syaitan telah berputus asa menyesatkanmu dalam perkara-perkara yang besar”.
Mungkin istilah ini direka untuk mengelabui mata hati umat islam. Mencantikkan zahirnya sedangkan batinnya adalah rosak penuh kepalsuan. Bak seorang penjual buku yang memperagakan bukunya dengan membalutnya dengan balutan indah tapi hakikat buku di dalamnya telah rosak dimakan anai-anai. Bercinta itu tidak salah tetapi yang salah adalah cara bercinta. Aku bimbang kiranya fitrah itu bertukar menjadi fitnah. Perasaan cinta kurniaan Tuhan digunakan untuk bermaksiat pada-NYA.
Aku tahu bahawa dirimu tidak melamar diri ini untuk menjadi pasangan kekasih seperti kefahaman muda-mudi biasa. Tetapi tahukah dirimu, lamaranmu itu sama seperti cinta muda-mudi biasa tetapi dalam bentuk yang lebih halus. Berusaha lebih awal seolah-olah tidak meyakini janji Ilahi. Rakanku pernah berpesan bahawa pertunangan adalah seperti mengikat seseorang dengan benang yang paling halus dan yang paling mudah putus. Susah bukan? Ini apatah lagi, bukan pertunangan, cuma perjanjian biasa yang bisa menjurus kita ke lembah memendam rindu hanya untuk manusia. Sedangkan kita masih belum ada satu ikatan yang sah. Aku bimbang lama-kelamaan kita akan terjerumus ke lembah maksiat yang tak pernah kita fikirkan. Sedarlah dirimu dan diriku, janganlah kita terjerat oleh cinta nafsu hasil bisikan syaitan laknatullah.
Cinta sememangnya sesuatu yang mengasyikkan, indah dan mempesonakan. Tapi tahukan diriku dan dirimu apakah hakikat cinta itu? Seorang kawanku pernah memberitahuku bahawa cinta itu ibarat pelangi. Semua manusia memperkatakan tentang keindahan pelangi itu, tetapi tidak ramai yang mengetahui hakikat pelangi. Pelangi adalah serakan cahaya hasil daripada pantulan cahaya yang melalui zarah-zarah air. Apabila tibanya hujan dan pada masa yang sama matahari memancarkan cahaya maka pada waktu itulah terjadinya pelangi. Walaupun kehadiran pelangi adalah sekejap sahaja tetapi ia cukup menimbulkan keasyikan kepada manusia. Begitu juga dengan cinta, ramai manusia yang mengatakan bahawa cinta itu asyik, indah dan mempesona tetapi tidak ramai yang tahu hakikat di sebalik cinta itu sendiri. Hakikat cinta adalah terselindung di sebalik kata pelangi itu sendiri. Untuk menggapai cinta sejati kita memerlukan Pengorbanan, Espiranza, keLuhuran, Amanah, Nasihat, keGagahan selepas itu barulah dijumpai ertinya hakikat cinta iaitu Ilahi. Cinta sejati bukanlah cinta jalanan, cinta peleseran yang mampu dijumpai di tepi jalanan, tetapi ia adalah cinta murni yang terhasil apabila berlakunya mujahadah. Pengorbanan yang besar diperlukan, keyakinan yang mantap menjadi sandaran, keluhuran budi pekerti menjadi bekalan, sikap amanah menjadi pegangan, saling nasihat menasihati menjadi amalan, dan kegagahan jiwa menjadi azimat dalam perjuangan. InsyaALLAH iman yang terhasil menjadi syarat penerimaan cinta oleh Tuhan.
Aku bimbang wahai akhi, jika cinta kita menjadi penghalang dari tergapainya redha Tuhan. Adakah benar ertinya iman jika aqidah kita gadaikan. InsyaAllah aku lebih rela menjalin cinta melalui ikatan yang sah iaitu perkahwinan. Tetapi aku yakin diriku dan juga dirimu masih lagi belum bersedia untuk ke gerbang bahagia. InsyaALLAH bersamalah kita menjadi seperti Zulaikha, mendamba cinta dan rahmat Tuhan.
InsyaAllah bersama kita yakini janji ALLAH, setiap hambanya telah ditetapkan ALLAH akan jodoh, ajal, rezeki dan amalannya. Jika kita telah ditetapkan bersama InsyaALLAH akan ketemu jua kita akhirnya. Sama-samalah kita meningkatkan iman kita kerana perempuan-perempuan yang beriman itu disediakan khusus untuk lelaki-lelaki yang beriman dan lelaki-lelaki yang beriman pula disediakan khusus untuk untuk perempuan-perempuan yang beriman pula.
Sekian, wassalam.


Salam ukhwah fillah;
Aisyah Humaira
(Aisyah Humaira Abdullah)

////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////

Aku pasti kini bahawa cintaku hanyalah milik-MU. Aku tidak ingin lagi menyiakan detik masa dalam hidupku hanya untuk menagih cinta palsu.

Aku tak pernah tahu
Masih seberapa banyak sisa waktuku
Tuk mengejar bayangan wajah Sang Kekasih
Yang selalu hadir di setiap penjuru taman hatiku
Dan memabukkan diri ini dihamparan permaidani biru
Dalam kelembutan dekap mesra cinta-Nya
Kasih….
Ku bisikkan rinduku kepada-Mu
Dalam kelembutan desah sepoi sang bayu
Satukanlah diriku
Dengan Keabadian Cahaya Cinta-Mu
Untuk selamanya

Sesungguhnya hanya cinta-Mu Tuhan yang ingin ku raih dalam hidupku. Walaupun ku sedar bahawa dunia ini adalah jambatan untuk ke akhirat. Tetapi aku bimbang cinta dunia memabukkan dan melalaikan daku dari menggapai redha-Mu.
Ya Allah jadikanlah daku seperti Zulaikha yang hanya merindukan kasih dan cinta-Mu. Menemui hakikat cinta sejati selepas benar-benar mengenali hakikat diri-Mu.



10. AISYAH HUMAIRA, NAMAMU SEINDAH AKHLAKMU

Alhamdulillah akhirnya khatam juga aku membaca kitab suci Al-Quran. Walaupun pada awal-awal dulu hampir menangis juga aku. Masakan tidak, untuk membaca alif, ba, tha pun hampir sebulan baru lepas. Itupun aku baca tiap-tiap hari. Nak buat macam mana, lidahku keras sangat waktu tu.
Tapi itu tidak pernah mematahkan semangatku. Aku masih ingat lagi pesanan Nurul Iman. Jangan tinggalkan Al-Quran, ia adalah azimat umat Islam, mukjizat Rasulullah yang dijamin akan dipelihara oleh Allah hingga Hari Kiamat kelak. Abdurrahman bin Syibl meriwayatkan dari Nabi saw, bahawa baginda bersabda:
Bacalah Al-Quran, amalkanlah isinya, jangan kalian menjauh darinya, jangan berlaku khianat padanya, jangan makan dengannya, dan jangan mencari kekayaan dengannya.
Lagipun bukankah Rasulullah saw telah menyampaikan kepada kita bahawa orang yang membaca Al-Quran ini tidak akan rugi selamanya. Tidak kira dia membaca secara lancar atau tersekat-sekat asalkan dia tetap belajar dan mengajar. Rasulullah saw bersabda:
“orang yang membaca Al-Quran dan dia mahir dengan bacaannya itu, maka dia beserta para malaikat yang mulia lagi taat. Sedangkan orang yang membaca Al-Quran dengan tersekat-sekat dan terasa sukar baginya maka dia mendapat dua pahala.”
////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////

“Selamat pagi! Lama sudah menunggu?”
“Selamat pagi!” jawab Candy dengan tegas. “Macam mana dengan pendebatan kita hari ini? Kamu sudah sedia?”, kata Candy meneruskan kata-katanya.
“Baiklah. Di sini saya ada lima persoalan. Jika kamu tidak dapat menjawabnya, saya minta kamu kembali kepada agama asal kita. Dan jika kamu dapat menjawabnya dengan tepat, saya sudi mendengar kata-kata kamu”, kata Candy mengingatkan tentang maksud perjumpaan kami pada pagi ini.
“InsyaAllah, saya cuba sebaik mungkin”.
“Oklah, bukankah dalam Islam umat Islam wajib menerima keseluruhan kandungan Al-Quran, tidak boleh menolak atau menambah walaupun satu huruf?”
“Ya, benar sekali”. Ku lihat Candy tersenyum mendengar pernyataanku itu.
“Baiklah! Sekarang saya ingin kamu terangkan kepada saya tentang percanggahan-percanggahan di dalam kitab Al-Quran. Umat Islam percaya bahawa jika hanya ada satu percanggahan dalam kitab mereka, maka kitab mereka itu boleh ditolak. Di dalam surah Huud ayat 43 dinyatakan bahawa anak Nuh, berenang ke gunung waktu air bah dan tenggelam. Ia amat bertentangan sekali surah Al-Anbiya ayat 76 yang menyatakan Nuh berdoa, doanya berkenan kepada Allah, maka diselamatkan beserta keluarganya. Apa penjelasan kamu? Sudah amat jelas sekali pertentangannya bukan?”
“Oh yang itu rupanya. InsyaAllah saya akan jawabnya. Tapi sebelum itu izinkan saya membuka kitab Al-Quran sekejap. Saya minta maaf kerana masih belum mampu untuk menghafal keseluruhan ayat Al-Quran,” kataku sengaja untuk menghidupkan suasana. Tapi apapun aku amat bersyukur kepada Allah swt kerana apa yang ingin ditanya oleh Candy sebenarnya telah pun aku bincangkan suatu masa dahulu bersama dengan Nurul Iman dan sahabat-sahabat usrah yang lain. Pada waktu itu Sakinah yang membawa keratan yang dipetiknya dari laman web answering.com. Sayang laman web yang dibuat untuk menggoyahkan aqidah umat Islam.
“MasyaAllah…… tentang perkara tu, saya rasa eloklah kiranya kita kembali merujuk kepada maksud ayat Al-Quran tadi. Memang benar Allah swt dalam surah Al-Anbiya menyatakan bahawa Allah swt telah memperkenankan doa Nabi Nuh dan menyelamatkan keluarga Nuh dari bencana yang besar. Dan dalam masa yang sama Allah menyatakan dalam surah Nuh ayat 42 dan 43 bahawa anak Nabi Nuh ditenggelamkan bersama-sama orang-orang yang tenggelam. Tetapi Allah telah menerangkan lagi secara terperinci dalam surah yang sama iaitu surah Nuh ayat 44 hingga 47 bahawa anak Nuh itu bukanlah terdiri dari keluarga Nuh, bahkan keluarga Nuh yang Allah maksudkan adalah orang-orang yang beriman kepada Allah. Di dalam Islam kami percaya bahawa setiap muslim adalah bersaudara. Semuanya berasal dari keluarga besar Islam iaitu keluarga atas ikatan ketaatan kepada Allah swt. Jelas bukan?”
“Ok. Soalan yang kedua pula adalah tentang penghuni neraka. Dalam surah Maryam ayat ke 72 menyatakan bahawa manusia dapat diselamatkan daripada neraka tetapi dalam surah Al-Baqarah ayat 39 menyatakan sebaliknya. Orang kafir adalah penghuni neraka dan kekal di dalamnya. Yang mana satu yang benarnya? Sekejap menyatakan dapat diselamatkan dan sekejap pula menyatakan tentang kekal selamanya. Bukankah ini jelas ketidak shahihan ayat Al-Quran?”.
“Maafkan saya Candy. Adakah Candy membaca keseluruhan ayat tersebut. Dalam surah Maryam ayat ke 72 Allah menyatakan maksudnya: “Kemudian Kami akan menyelamatkan orang-orang yang bertakwa dan membiarkan orang-orang yang zalim di dalam neraka secara berlutut?” Bukankah secara automatik bahawa pertanyaan Candy sudah dijawab dengan sendirinya dalam firman Allah tadi?” kataku bersahaja menjawab pertanyaan Candy.
“Soalan saya yang ketiga adalah tentang minuman keras. Dalam surah Al-Baqarah ayat 219 menyatakan bahawa minum khamar dan minuman keras atau arak adalah dosa manakala dalam surah Al Muthaffifiin ayat 25 pula menyatakan bahawa di syurga akan diberi minum khamar dan arak secukup-cukupnya. Apakah amalan-amalan yang diharamkan di dunia ini adalah halal di akhirat? Di manakah konsistennya dan kesahihannya ‘Firman Tuhan” ini?”.
“Ibarat sebuah pertandingan. Penganjur mengatakan bahawa kamu semua tidak dibenarkan memakan buah epal sehingga pertandingan tamat. Selepas pertandingan, kalau kamu mahu makan sebanyak-banyaknya makanlah. Tapi ini dikhaskan kepada pemenang dalam pertandingan tadi. Saya rasa jawapan dalam bentuk metafora begini pun sudah cukup memadai bagi persoalan kamu tadi. Itulah dia ganjaran bagi mereka yang benar-benar tulus dalam mengabdikan diri kepada Allah”.
“Soalan saya yang keempat adalah tentang kadar hari Tuhan. Dalam surah Al-Ma’arij ayat 4 menyatakan bahawa para malaikat dan ruh-ruh menghadap kepada Tuhan dalam satu hari kadarnya 50,000 tahun. Manakala dalam surah Al-Haj ayat 47 dan surah As-Sajdah ayat 5 pula menyatakan bahawa kadar masa satu hari bersamaan 1000 tahun sahaja. Nampaknya Allah atau Muhammad itu sudah amat keliru. Satu masa mengatakan bahawa satu hari itu kadarnya 50,000 tahun sedangkan pada masa yang lain pula mengatakan bahawa kadarnya hanya 1,000 tahun sahaja.”
“Dalam tafsir Ibnu Kathir telah dinyatakan bahawa apa yang dinyatakan oleh Allah swt adalah keadaan lama masa itu dari persepsi yang berbeza. Secara mudah saya nyatakan sewaktu kita gembira, kita merasakan bahawa terlalu cepat masa berlalu. Tetapi sewaktu kita kecewa, sedih atau gelisah, perjalanan masa yang kita lalui terasa begitu lama dan panjang. Sedangkan kadar masa yang dilalui pada kedua-dua keadaan itu adalah sama sebenarnya. Begitu jugalah dalam Firman Allah tadi. Dalam surah Al-Ma’arij Allah menyatakan tentang bagaimana azabnya neraka bagi orang-orang yang kufur kepada Allah. Sememangnya masa yang mereka lalui terasa begitu amat panjang sekali. Sedangkan dalam dua ayat yang lain Allah menyatakan tentang hari di akhirat bahawa masa seharinya seolah-olah seribu tahun pada kiraan biasa. Saya rasa perkara ini tidak perlu lagi untuk dipersoalkan bukan?”
“Sebelum saya bertanya tentang soalan yang terakhir. Saya ingin bertanya kepadamu adakah benar orang-orang Islam percaya bahawa kitab suci Al-Quran dan hadis Muhammad ada menceritakan tentang segala-galanya?”
“Ya. Kami umat Islam percaya dan berpegang kepada kedua-duanya. Dalam Islam juga kami adanya qias dan juga ijmak ulama”.
“Ah… saya tidak perlukan yang lain. Soalan saya yang terakhir adalah, jika benar Al-Quran atau hadis Muhammad ada menceritakan tentang segala-galanya. Saya ingin tahu adakah dalam Al-Quran ada menceritakan tentang bagaimana caranya mahu membuat nasi goreng?”, tanya Candy dengan ketawa kecil. Aku tahu bahawa soalannya kali ini bukan lagi soalan ilmiah, tetapi ini adalah soalan untuk mengenakan aku kembali.
“Allah swt telah menyatakan di dalam surah ayat ke 6 bahawa: bertanyalah kepada orang yang lebih mengetahui jika kamu tidak mengetahui tentang sesuatu. Bukankah ini telah pun terjawab di dalam kitab suci al-Quran?”
Selepas itu Candy berlalu pergi tanpa sepatah perkataan pun yang keluar dari bibirnya melainkan bebelan yang aku tidak ketahui dengan jelas butirannya.
////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////

Aku tahu bahawa bukan mudahnya seseorang itu untuk mendapatkan hidayah Allah. Sedangkan Abu Thalib sendiri iaitu bapa saudara Rasulullah saw yang banyak membantu dalam perjuangan Islam, tetapi matinya dalam keadaan kufur kepada Allah swt. Sewaktu Rasulullah saw, begitu bertegas untuk bapa saudaranya memeluk Islam, Allah swt telah menegur bahawa hanya Allahlah tempat segala hidayah. Kita manusia hanyalah pemberi peringatan, tetapi yang menentukan hanyalah kuasa mutlak Allah swt.
Biarlah Candy tetap dengan pendiriannya tidak mahu memeluk Islam. Tetapi aku sebagai sahabat insyaALLAH akan cuba sekadar termampu untuk membawanya ke jalan hidayah Allah. Membawanya kembali kepada agama fitrah.
Keluargaku? Alhamdulillah akhirnya mereka semua telah memeluk agama Islam jua. Sesungguhnya perjuangan bukan senang. Yang senang hanyalah untuk meninggalkan agama Islam. Wahai Tuhan yang berkuasa membolak-balikkan hati. Kekalkanlah hati ini dalam agama-Mu dan ketaatan yang sebenarnya buat-Mu.

Menangislah seperti Adam
Sepanjang hidup
Kerana
Menyesali kesalahan
Hingga lembah-lembah
Gunung-gunung
Sungai-sungai
Bebatuan
Ikut menangis
Menangislah…!
Kerana
Dunia adalah tempat
Bagi orang-orang yang menangis.